Isnin, 8 Jun 2015

Tiba Di Sini

Cairo. Ketika namanya masih sekadar sebutan sahaja. Kepastian untuk menjejakkan kaki ke bumi Mesir sudah kian nyata tetapi entah bila, masih samar-samar. Itu, sebelum dapat tarikh penerbangan. Tidak banyak yang mahu difikirkan sebenarnya. Sengaja memilih begitu kerana cepat atau lambat, kaki akan tetap memijak bumi Mesir. Kebimbangan yang muncul dalam fikiran orang tua kian sirna. Ada asas yang kukuh untuk melupakan segala gundah yang muncul secara tiba-tiba. Alhamdulillah.

Menunggu tarikh penerbangan selama berminggu-minggu. Sepatutnya, ada begitu banyak masa untuk melakukan pelbagai persiapan.  Entah macam mana, semuanya jadi agak kelam-kabut juga. Tiba-tiba dapat tahu akan terbang pada hari Isnin padahal waktu itu sudah pun hari Khamis. Ada empat hari sahaja untuk melakukan segala persiapan sebelum berangkat.  Benar-benar last minute!

Selepas berada dalam penerbangan selama lebih kurang lapan jam, tibalah di Dubai.  Transit dua jam. Singgah beli macaron di Paul. Kawan yang banyak membantu membelikan barang keperluan, mencadangkan supaya mencuba macaron Paul yang menurutnya sangat sedap.  Memang betul pun! Macaron yang teksturnya lembut seperti kek dengan kombinasi inti yang sedap ... sangat puas hati. :)

Kemudian, penerbangan diteruskan. Kami pun tiba di Cairo. Bumi Mesir yang luas, yang penduduknya bertumpu di sepanjang Sungai Nil untuk mendapatkan sumber air bagi menjalankan segala macam aktiviti.  Jauh dari padang pasir yang tandus.

Sebaik menghirup udara Cairo, di luar bangunan lapangan terbang, pelbagai reaksi diterima daripada anak-anak. Eh, udara bau macam Tashkent. Pokok-pokok pun nampak macam di Tashkent.  Masing-masing aktif mencari persamaan dengan perkara yang sudah biasa ataupun pernah dilihat.  Bagus juga begitu.  Maknanya, tidaklah terkejut dengan suasana baru di bumi Mesir. 

Anak yang paling kecil pula, sangat rajin mengajukan soalan yang sama. "Kita di mana ni ma? Kita dah sampai Egypt kah?"

Saya sendiri tercari-cari pemandangan hijau. Ok, lebih banyak coklat daripada warna hijau.  Ini bukan Malaysia, saya cuba mengingatkan diri.  Sebenarnya, sayalah yang seperti masih berada dalam mimpi. Masih teringat-ingat mango cheese cake yang dihidangkan semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Dubai.  Sangat sedap! Seingat saya, itulah cheese cake paling sedap yang pernah saya makan. Dan, jetlag pun bermula.

Mesir, realitinya di sini jauh berbeza dengan segala prasangka yang muncul ketika masih berada di tanahair.  Gambaran-gambaran yang diberi tentang Mesir, jauh berbeza dengan kenyataannya di sini. Mesir atau hampir tepat lagi di Cairo ini tidak jauh bezanya dengan bandar-bandar utama di Malaysia -- jalan raya sesak, bunyi hon membingit -- cuma di sini, cuacanya kering.  Hingga pipi anak bongsu pun menjadi kering.


Bertemu Orang Malaysia

Pandangan bertaut dan saling berbalas senyuman. Spontan, tangan dihulur dan saling berbual ringkas. Berbahasa Melayu. Alangkah seronoknya! Manakan hati tidak berasa seronok apabila bertemu dengan orang senegara yang tidak lokek senyuman.  Yang ramah berbual mesra walaupun bertemu tidak sampai lima minit. Bertemu pula secara tidak sengaja semasa sedang membeli barang keperluan di Carrefour -- lebih tepat lagi, semasa sedang memilih pinggan mangkuk --  tapi sayang, terlupa pula bertanyakan nama. Dan lagi, kami tidak berwefie pun.


Bazar Khan al-Khalili

Jumaat.  Jemaah melimpah sehingga ke kawasan luar Masjid Saidina Hussein.  Belum termasuk jemaah yang berada di lorong-lorong sepanjang kaki lima kedai di sekitar bazar.  Selesai solat Jumaat, kelihatan ramai jemaah yang berwefie di hadapan masjid.  Semasa berwefie atau berselfie wajah mereka begitu serius.  Sebaik sahaja selesai mengambil gambar, barulah senyuman terukir. Hal ini diperhatikan oleh anak-anak dan kemudian barulah saya ikut mencuri pandang.  Benar rupanya. Saya sekadar tersenyum dan memberi sedikit komen.  Entah apa. Sudah lupa.

Sebelum balik, lorong-lorong bazar kami telusuri.  Kami sekeluarga mendapat 'fateer' percuma. Roti yang di dalamnya diletak sayuran hijau dan sebiji begedil (seakan-akan begedil).  Saya teringat, di Malaysia paling biasa disedekahkan adalah pisang.


Koshary

Tiba-tiba teringin untuk merasa hidangan tempatan.  Makanan pertama yang kami cuba, koshary. Dalam makanan ini terkandung pasta, bihun, sejenis kekacang yang seakan sudah direbus kemudian dilumatkan, dimakan bersama sos, lemon, dan cili masak yang pedas.  Gabungan masam dan pedas ini boleh dikatakan serasi dengan lidah kita.  Jikalau saiz hidangan kecil, saya yakin dapat menghabiskan koshary.


Piramid

Sudah ada rancangan untuk melawat piramid.  Sudah dua kali rancangan tersebut terpaksa dibatalkan. Ditunda hingga ke musim sejuk.  Menjelang Ramadan, kesihatan mesti dijaga betul-betul.  Jangan kerana melawat piramid, kesihatan terganggu pula nanti.  Bersabarlah dulu ya!


Gempa Bumi di Sabah Ketika Adik Genap Usia

5 Jun 2015.  Sekitar 7:15 pagi waktu tempatan di Sabah dan sekitar 1:15 pagi di Cairo.  Waktu sarapan di Sabah dan waktu tidur di Cairo.  Gegaran yang melanda Ranau itu dikhabarkan mencecah 6.0 pada skala richter, telah menggegarkan Gunung Kinabalu.  Gegaran itu turut dirasai sehingga ke Putatan atau mungkin lebih jauh lagi.  Khabar tentang gempa diketahui dari facebook. Sangat ramai kenalan atau kenalan kepada kenalan, yang mengemaskini situasi berkenaan gempa. 

Tuding-menuding, kata-mengata, hal yang tidak saya suka.  Mengangkat yang berjasa, jangan sampai menjatuhkan yang lain pula.  Menyelesaikan masalah yang muncul adalah jauh lebih baik daripada menambah rumit pada masalah yang belum selesai.  Bagi saya, gambar-gambar menyedihkan mangsa-mangsa gempa bumi yang terkorban tidak wajar dikongsi di ruang terbuka. Untuk apa gambar-gambar berkenaan dikongsi dalam media sosial yang segala-galanya menjadi viral dengan begitu cepat sekali. Saya tak faham.


Setakat ini dulu ya! 

:-)









Tiada ulasan: