Selasa, 10 Mei 2016

Bukan Sinopsis : Laki Aku Negro Kau Peduli Apa ?

Bukan Sinopsis : Laki Aku Negro Kau Peduli Apa

Laki Aku Negro Kau Peduli Apa, tulisan Dr Hayya Bilal. Saya percaya, tentu ramai yang skeptikal apabila membaca tajuk buku ini. Laju terlintas dalam fikiran akan pepatah Inggeris yang popular, 'don't judge a book by its cover'.

Pernah saya membawa buku ini ke kelas agama lalu menunjukkannya kepada kenalan saya. Beliau pantas menyambutnya dan menyelak halaman demi halaman. Tentulah isinya mengarah kepada kebaikan. Jikalau tidak, manakan saya sanggup mengongsikannya sebelum kelas agama bermula.

Waktu itu, kami sedang menunggu ketibaan ustaz.  Sebaik sahaja ustaz tiba, kenalan saya segera menghentikan pembacaannya. Selesai kelas, saya memberitahu bahawa akan membawa lagi buku tersebut pada kelas yang akan datang.

Semasa beliau tekun membaca, sesekali tertangkap senyuman pada wajahnya. Melihat beliau, saya sedar begitulah yang terjadi kepada saya sepanjang tempoh pembacaan. Sungguh pun buku ini nipis sahaja, agak lama juga barulah dapat saya habiskan.

"Habis juga akhirnya," kata saya kepada Encik Suami.

Sebenarnya, Encik Suami lebih dahulu selesai membaca buku ini. Semasa giliran saya membaca, banyak kali saya menghentikan bacaan. Bukannya apa, saya menggunakan peluang bertanyakan pendapat dan perasaan Encik Suami tentang kisah yang sedang saya baca, kerana saya hanya perlu menggunakan sedikit kata kunci tanpa perlu bercerita dengan panjang lebar. :)

Kita sedia maklum bahawa kita tidak sepatutnya melayan orang lain secara pukul rata. Sekiranya satu orang kulit hitam melakukan kesalahan, tidak sepatutnya seluruh bangsanya dilabel jahat. Sekiranya kita yang berkulit sawo matang atau kuning langsat melakukan kesalahan lalu dilabel sedemikian rupa, apa pula perasaan kita.

Penulis menceritakan pengalaman beliau dengan gaya bahasa yang mudah difahami. Saya paling suka kisah semasa beliau membuat pembentangan dalam salah satu persidangan di negara Afrika. Bukan calang-calang orang boleh melakukannya.

Turut diceritakan tentang kisah anak-anak beliau semasa mereka masih lagi kecil dan sudah tentu tentang suami beliau sebagaimana tajuk buku yang dipilih. Bagaimana untuk tidak bersimpati terhadap anak-anak beliau yang mendapat layanan tidak adil daripada masyarakat sekeliling. Bagaimana untuk tidak bersimpati melihat (membaca) orang yang berbakti pada anak bangsa kita dilayan secara kurang sopan. Adab dan nilai ketimuran yang kita bangga-banggakan, entah ke mana menghilang.

Kisah yang dipaparkan dalam buku Laki Aku Negro Kau Peduli Apa, banyak terselit maklumat berguna yang bukan semua orang tahu termasuk saya. Persoalan yang dilontarkan mampu membuatkan kita berfikir. Kisah beliau mampu menyentuh ke dasar atma dengan syarat, kita menelusurinya dengan berlapang dada dan minda terbuka.

Khabarnya, buku kedua akan menyusul kelak. 😊



Tiada ulasan: