Sabtu, 29 Ogos 2009

Ikan Kelah

Mengimbas kembali kenangan ketika ke Kg. Luanti, terngiang-ngiang kembali jerit geli yang mengundang tawa geli pula. Yang sedia geli turut tertawa. Yang belum merasai sendiri kegelian itupun turut tertawa geli hati melihat telatah orang yang sedang kegelian. Yang sedang marah boleh hilang marahnya. Yang ada rajuk masih bersisa pun turut hilang rajuknya. Dapat saya perhatikan, bunyi bising yang kami cetuskan secara tidak sengaja itu langsung tidak mengganggu ikan-ikan kelah yang tidak takut-takut atau malu-malu menghampiri kami. Yang saya lihat seperti terganggu ialah pengunjung-pengunjung lain yang ada di situ. Kalaulah mereka sedar yang kami benar-benar cuba menahan geli...


Sebenarnya, saya tidak lupa tentang peraturan yang sudah dibaca sebelum bermain-main dengan ikan kelah di sungai itu. Begitu juga dengan ahli keluarga saya yang lain. Jangan bising. Itulah satu-satunya peraturan yang kami langgar tanpa sengaja. Semakin lama, rasa geli itu kian dapat diatasi. Mungkin untuk mengganti masa beberapa minit yang tidak digunakan dengan baik, kami diberi masa tambahan selama lima minit lagi. Guide itu memang baik hati. Bagi saya, dia baik bukanlah semata-mata disebabkan masa tambahan lima minit yang diberinya itu. Bertemu dengan insan yang baik hati di tempat yang pertama kali kita kunjungi memang amat melegakan.

Ada rasa geram melihat ikan-ikan itu. Teringin mahu memegang sendiri. Kalau dipegang juga, maknanya ada peraturan lain yang akan dilanggar. Dilarang mengasari atau mencederakan ikan. Tidak mahu melanggar peraturan tersebut, jadi saya sekadar membelai ikan-ikan itu.

Masa bermain dengan ikan akhirnya tamat. Tiada sebarang kecederaan berlaku seperti yang saya risaukan sebelumnya. Ikan kelah itu tiada gigi. Itulah yang diberi tahu oleh petugas yang tidak jemu menjawab pelbagai pertanyaan saya.

Sebelum sampai ke tempat ikan kelah ini, beberapa kali kami terpaksa berhenti untuk bertanya arah. Biasanya sesuatu perjalanan itu akan terasa jauh dan lambat jika ia pertama kali kita kunjungi. Tetapi keadaan itu tidak akan berlaku pada kunjungan kali kedua dan seterusnya. Banyak tahu membuat hidup kita lebih bererti, ada kalanya begitu. Lebih lagi, kalau pengetahuan yang kita miliki itu bersifat membina dan memberi manfaat.

Jika ada antara teman-teman yang ingin berkunjung ke Sungai Moroli, di bawah ini ada nombor telefon yang boleh dihubungi. Mungkin ada pertanyaan tentang bayaran masuk ataupun pertanyaan lain yang mungkin ingin ditanyakan pada mereka...

4 ulasan:

Pa'al berkata...

ara,

wah..nanti ada kelapangan mau juga berkunjung ke sini. manja betul ikan-ikan kelah yg ada di situ, mesti ramai yg tak sanggup makan, hehe..

aranam berkata...

Pa'al,

Ya...ikan-ikan kelah di situ manja betul.

Ketika ditanya pada anak-anak tentang aktiviti mana yang paling seronok, bermain dengan ikan kelah berada di tangga paling atas.

:)

deeja berkata...

salam..ziarah,seronok nyer tengok ikan2 to.

aranam berkata...

Salam, Deeja.

Terima kasih kerana sudi mengunjungi M.I... :)