Khamis, 28 Mei 2009
Sepi dan Sepi Lagi
Jika ada sebarang pesan, sila tinggalkan di ruangan komen.
Terima kasih.
Terima Kasih Khusus Buat Kalian
Terima kasih kerana sudi mengikuti Menelusuri Ilham.
Rabu, 20 Mei 2009
Sampan Kertas
teroleng-oleng sendirian.
Hendak ke tepian
tiada upaya
sekadar menanti
kertas bersatu
dengan lautan
dan terus-terusan
terapung-apung
sebagai kertas
bukan lagi sampan.
Undur Kembali
Aku berundur
dari senyum
dari riang
dari tawa
teman-teman.
Kerana aku
mahu mengenal
dunia baru
yang aku huni.
Kini
dunia itu
sudah aku kenali.
Tiba ketika
aku kembali
memesrai senyum
memesrai riang
memesrai tawa
yang pernah
aku tinggalkan dulu.
Pohon Bisu
Tetap jua tegak di situ.
Dibelai angin
Yang sesekali menghembus lembut
Yang sesekali merengus kasar
Yang sesekali berhenti menyapa.
Pohon itu
Tetap dimesrai titis embun
Tetap dibasahi titik hujan
Tetap dipanahi terik mentari
Tetap disuluhi terang rembulan
Selagi hayat ada tetap jua menghirup udara.
Pohon itu
Tetap jua tegak di situ
Payah sekali mengungkap bicara.
Namun masih jua terus menanti
Menghitung waktu mengira hari
Pucuk-pucuk baru hadir menemani
Helai-helai daun kembali menghijau
Kuntum-kuntum bunga kembali memutik
Agar dapat menyisih kebisuan yang membelenggu.
Isnin, 18 Mei 2009
Tashkent Raya Awal (2)
Semalam, Mei 17, komuniti Malaysia di Tashkent bersama-sama menjayakan penggambaran untuk Hari Raya Aidilfitri kelak. Berikut ada beberapa keping gambar yang sempat saya rakamkan.
Encik Aris
Musim buah sudah mula - aprikot, strawberi, ceri
Bergambar kenangan dengan
Duta Besar Malaysia ke Uzbekistan
Datuk Abdul Rahman dari Persatuan Sejarah Malaysia
dan isteri.
Krew RTM – Kumpulan 1
Dari kiri : En. Aris, Sdr. Dilla, En. Murad, En. Azali
Bubur pulut hitam
Sabtu, 16 Mei 2009
Guru
Daun selasih lengkuas halia,
diramu buat pembangkit rasa,
dirimu insan jiwa mulia,
dekat di hati jiwa bangsa.
Selamat Hari Guru.
Jumaat, 15 Mei 2009
Sifu
Soalan pertama saya kepada mereka lebih kepada soalan yang perlu mereka tanyakan pada diri sendiri. Minat ataupun tidak. Jika tidak pandai tetapi minat, tidak ada masalah kerana ilmu itu boleh dipelajari. Jika tidak pandai dan tidak minat, saya tidak akan memaksa.
Cuma saya sering menyarankan agar mereka melihat-lihat dulu dan boleh berfikir-fikir lagi sama ada minat mereka terhadap penulisan, wujud ataupun tidak. Langkah seterusnya, merekalah yang akan memulakannya.
Kenapa saya mengajak mereka?
Saya mengajak mereka semata-mata untuk menunjukkan laluan mudah kepada mereka. Laluan yang saya lalui tidak mudah. Laluan yang pernah saya lalui untuk mencari seorang guru tidak mudah. Ada banyak perkara yang perlu saya pertimbangkan. Saya pasti, semua orang akan mempertimbangkan banyak perkara. Disebabkan hal itu jugalah, langkah yang saya sebut itu mesti diorak sendiri.
Dengan tanggungjawab yang saya pikul, menghadiri bengkel ataupun pertemuan-pertemuan penulis merupakan kekangan paling besar bagi saya. Tidak pernah mudah sejak dulu hinggalah sekarang ini.
Jadi, sumbangan saya yang sedikit dalam memaklumkan jalan yang ada diharap dapat membantu sahabat-sahabat sekalian.
Buat sahabat-sahabat yang sudah bertemu jawapan kepada soalan yang saya berikan, tahniah kerana sudah mengorak langkah!
Buat sahabat-sahabat yang masih tercari-cari, Sifu menanti kalian di blog beliau.
Ingin Bertemu
Kali ini, apabila saya mengatakan yang saya akan menemui ramai orang, bukanlah bermakna selama ini saya langsung tidak bertemu dengan sesiapa. Orang-orang yang saya maksudkan ialah mereka yang sudah lama tidak saya temui.
Saya merancang untuk bertemu dengan sahabat-sahabat lama ketika di bangku sekolah dalam reunion yang bakal berlangsung pada Jun 7 kelak. Saya merancang untuk bertemu dengan sahabat-sahabat penulis yang pernah saya temui ketika baru menapak ke dunia penulisan; dunia yang sudah agak lama saya tinggalkan, yang baru saya geluti kembali pada ketika ini.
Penulisan, hanya minat yang mendalam yang saya ada. Sesungguhnya, bekalan ilmu yang saya ada tentang penulisan amat cetek. Cetek amat.
Ada antara sahabat penulis saya itu yang sedang penasaran ketika ini. Saya minta maaf, bukan niat saya sebenarnya. Situasi itu wujud semata-mata kerana kewujudan saya dalam M.I...yang masih berselindung di balik selendang yang berlapis-lapis. Pun begitu, selendang yang berlapis-lapis itu sedang menunggu masa saja untuk ditiup angin; sama ada terbang terus ataupun sekadar tersingkap sedikit-sedikit sahaja.
Dan lagi, saya ingin bertemu dengan Sifu saya. Di blog beliaulah saya banyak menghabiskan masa sama ada menanti tugasan diperiksa, beramah mesra dengan sahabat sesifu (gelaran yang saya beri untuk anak-anak didik beliau, yang saya anggap sebagai sahabat sesifu bagi saya) ataupun membaca catatan-catatan dalam blog beliau.
Saya yakin, ada di antara sahabat-sahabat saya di dalam M.I yang tahu ke mana saya sering menghilang dan membiarkan M.I sepi tanpa masukan terkini.
Bagi yang kurang pasti atau meneka-neka dalam kesamaran, saya sering berkunjung ke blog Sifu Azmah Nordin. Beliau sedang berusaha memberi bimbingan dalam dunia penulisan. Sesekali, jenguk-jenguklah ke sana dan mudah-mudahan kita sama-sama beroleh manfaat.
Sejak saya mula belajar menulis dengan beliau, masukan di dalam M.I hanya saya buat apabila selesai menamatkan tugasan. Namun, kali ini berbeza benar. Tugasan terakhir belum saya siapkan, M.I pula yang saya dahulukan.
Mungkin untuk merawat sedih kerana sesi pertama pembelajaran dengan Sifu akan tamat tidak lama lagi. Mungkin juga untuk merawat sedih kerana M.I akan menyepi, agak lama, sepanjang bulan Jun dan Julai.
Kalaupun sesekali ada masukan, mungkin kerana saya berpeluang mengunjungi internet kafe. Tetapi, saya tidak berjanji. Bagi saya, janji itu berat. Amat berat. Bagi saya, selagi perkataan janji tidak saya sebut, lebih baik tidak ada anggapan bahawa saya sudah membuat janji. Janji itu hanya wujud jika perkataan janji itu saya sebut.
Pada setiap pertemuan, saya akan cuba merakam kenangan. Saya berharap agar mereka yang saya temui sudi wajah mereka dirakam dengan lensa saya, lensa aranam... :)
'Reunion'
Kurang tiga minggu dari sekarang, kaki saya akan memijak tanahair tercinta, Malaysia. Kurang tiga minggu dari sekarang, saya akan menemui insan-insan yang telah berbulan-bulan saya rindui. Kurang tiga minggu dari sekarang, saya akan menemui sahabat-sahabat lama yang memang sudah lama tidak pernah saya temui.
Membayangkan bertemu mereka membuatkan saya sedikit gusar. Gusar apabila pertanyaan silih-berganti memenuhi benak sendiri. Sehingga ada waktu-waktunya, saya sendiri mahu menukar lampu kuning yang saya ada itu kepada warna merah. Aduh, saya sedar yang saya tidak seharusnya dikalahkan oleh kegusaran yang melanda tanpa diundang itu!
Akhirnya, saya dengan senang hati dan lapang dada mengambil keputusan untuk tidak mengubah warna lampu yang kini berada dalam genggaman saya, hijau!
Sebenarnya, mereka belum tahu yang saya akan menampakkan diri. Sang naga yang bertapa sejak sekian lama akan memunculkan diri akhirnya. Oh, saya sering terlupa tentang ini kerana saya sering 'terperasan' bahawa yang naga itu, cuma saya.
Dan, perkara ini juga sering menjadi modal gurauan saya. Sebenarnya, kami semua dilahirkan pada tahun naga. Paling lama saya tidak bertemu dengan naga-naga yang pernah saya kenal ini, enam belas tahun lamanya.
Mereka belum tahu yang saya akan hadir kerana saya belum memberitahu. Setakat yang mereka tahu, saya sudah mendapat lampu kuning. Lampu kuning saja sejak beberapa minggu yang lalu.
Sesudah meminta keizinan daripada sahabat karib saya, peluang ini saya gunakan untuk memaparkan maklumat tentang aktiviti reunion yang bakal diadakan pada Jun 7, 2009.
Dalam M.I ini, saya mengambil kesempatan untuk memaparkan sebahagian daripada teks sms yang saya terima daripada beliau beberapa hari yang lalu.
"Aku akan masukkan maklumat tentang reunion ni dalam blog aku apabila aku sudah dapat lampu hijau," lebih kurang begitulah bunyi sms saya kepadanya.
Sahabat karib saya itu ada menghantar sms tentang reunion yang sudah saya sebutkan tadi. Teks sms beliau berbunyi lebih kurang begini...
Salam buat semua kawan-kawan yang dikasihi...sms ini untuk reminder jak 4 our reunion nanti.
Tarikh : 7hb Jun 2009
Tempat : Pacific Sutera, Kota Kinabalu.
Masa : 2.30 petang sampai penat.
Tema : Hitam dan Putih
E-mel : ilya192@hotmail.com (Puan Odiah Untong atau di kalangan teman-teman, dipanggil...izzy)
Sabtu, 9 Mei 2009
Ibu
Walau jarak dan masa memisahkan kita, rinduku padamu tidak pernah sirna. Hanya rinduku sering kusembunyi di tempat paling istimewa di ruang kalbuku. Rindu itu akan berbunga, kembang dan mengharum tika tiba waktunya kita hampir bertemu. Aku sengaja menyembunyikan rindu yang ada agar aku bisa meneruskan hari-hariku tanpamu di sisiku.
Oh, Ibu yang kusayang. Tidak mungkin aku melupakan hari-hari kelmarin, kita bergurau senda bersama. Kita berkongsi kisah kelmarinmu. Kisah kelmarinmu yang turut mengakrabkan kita. Tidak mungkin aku melupakan hari-hari kelmarin, tatkala dirimu dihimpit gundah mengenang diriku yang sering sakit-sakitan. Sungguh aku berasa berdosa kerana sering menyebabkan titis-titis jernih bergenang menuruni pipimu.
Ibu, aku sayang padamu. Aku sedar kini. Kesukaranku meluah bicara, kesukaranku mengungkap kata yang lahir dari hatiku yang tulus buatmu semata-mata kerana aku tidak cukup kuat. Aku tidak cukup kuat. Setiap kali aku melayan rinduku, aku pasti kalah. Aku cuba berdiri dan bertahan. Sering aku malu sendiri.
Aku anak yang sulung. Sepatutnya aku kuat, aku tabah. Tetapi, rindu yang mengisi kalbuku sering berjaya membuatku kalah. Aliran jernih pasti akan menjadi temanku yang setia. Sebak yang tidak mampu kutahan pasti bertandang. Hanya doa yang sering kutitipkan menjadi penawar rinduku ini.
Sempena Hari Ibu ini, aku mengucapkan Selamat Hari Ibu buatmu Ibuku yang tercinta. Juga buat Ibu Mertuaku yang dikasihi. Buat Adik Perempuanku yang telah bergelar Ibu. Buat Adik-adik Lelakiku sayangilah wanita dalam hidup kalian...Buat Ibu-ibu Saudara, Sepupu-sepupuku.
Buat sahabatku yang seramai 30 orang dalam M.I...Selamat Hari Ibu kutujukan untuk kalian dan juga untuk wanita-wanita hebat dalam hidup kalian.
Buat pengunjung M.I...Selamat Hari Ibu buat anda dan wanita-wanita hebat dalam hidup anda.
Untuk Ayah, usah salah sangka terhadapku. Hebatnya rinduku untuk Ibu, begitulah juga hebat rinduku untukmu, Ayahku yang tercinta...kurang sepurnama lagi kita bertemu. Bersabarlah menanti kepulangan kami, anakmu, menantumu, dan cucu-cucumu yang bertiga. Nantikan kami.
untuk Ibu
ada pada setiap hari
ada pada setiap detik
ada pada zahir dan batin
mengalir dan bernafas
bersamaku.
Tetapi
hari ini
detik ini
dalam getar
rindu yang sarat
dalam titis
rindu yang mengalir
bergenang di pipi
aku berani
aku kuat
untuk
mengungkapkan
kata-kata
yang sering bermain
dalam kalbuku
kata-kata
yang sering tidak bisa
aku ungkapkan
kata-kata
yang sering gagal
aku jalinkan
menjadi luahan rasaku
untukmu
Ibuku yang amat kusayang.
Khamis, 7 Mei 2009
Sahabat Karib
"Kita ni, sahabat baikkah?" saya memberanikan diri bertanya soalan berisiko seperti itu.
"Kenapa tanya begitu? kau lupakah kita ini sahabat baik?" soalan berbalas soalan itu membuat hati saya sedikit kecut.
"Nda. Aku saja jak tanya," begitu saya menjawabnya.
Ada dua orang yang saya tanya soalan berani mati itu. Seorang saya tanya lewat sms manakala seorang lagi saya tanya lewat ym. Kedua-duanya memberi pengakuan bahawa saya ini adalah sahabat karib mereka. Dan, saya percaya.
Apabila saya cuba menarik ingatan dan kenangan yang telah lama tenggelam di benak, saya berjaya. Itulah yang membuatkan saya percaya. Ya, mereka memang pernah menjadi sahabat saya. Sahabat yang paling akrab. Saya terharu. Sungguh.
Saya tertanya-tanya sendiri. Bagaimana saya boleh berfikir bahawa selama ini, sahabat karib, tidak lagi saya miliki. Adakah mungkin kerana ketidakakraban yang wujud sejak sekian lama telah menyebabkan saya berasa demikian? Adakah ketidakakraban itu telah menindih rasa keakraban yang pernah kami nikmati?
Ya, memiliki sahabat karib merupakan suatu nikmat. Nikmat yang indah kurniaan Ilahi. Alhamdulillah...saya bersyukur kerana akhirnya saya punya sahabat. Sahabat karib yang saya sangka, saya tidak punya. Mungkin saja, masih ada lagi beberapa nama yang tenggelam di benak saya. Saling bertindih dan bersembunyi jauh di dasar minda sedang menanti untuk saya tarik naik ke permukaan agar jelas kelihatan.
‘May Fest’
Konsep May Fest di TUIS berbeza daripada Spring Bazaar di TIS.
Menu 'Meja Malaysia' cuma nasi lemak dan karipap ayam. Tidak mudah mahu merealisasikan menu nasi lemak itu kerana majoriti orang-orang di sini tidak makan pedas.
"Kesian depa," bantah belahan jiwa saya.
"Nda apa la. Kita bagitau siap-siap, sambal tumis tu pedas. Kalau rasa sanggup, biar jak la depa cuba," kata saya.
"Ok la. Kita buat nasi lemak bungkus," ujar belahan jiwa saya. Persetujuan itu begitu menggembirakan saya. Sebenarnya, sejak tahun lepas lagi, saya sudah mencadangkan menu ini. Tapi, bungkus?
"Err...nasi lemak bungkus...hidang nda boleh?" saya mula ragu-ragu sebab saya tidak tahu membungkus nasi lemak.
"Bungkus-membungkus jangan risau," ujarnya. Kelihatan begitu yakin.
"Tahukah bungkus nasi lemak?" keraguan saya masih belum hilang.
"Insya-Allah. Boleh..." akhirnya, saya lega. Saya tahu, kalau tidak boleh pasti awal-awal lagi sudah menolak. Pasti awal-awal lagi cadangan membungkus itu tidak timbul.
Segala-galanya berjalan lancar. Alhamdulillah. Terima kasih kepada kawan-kawan yang sudi datang memberi sokongan kepada kami. Terima kasih banyak-banyak.
Pesta Makanan sepatutnya diadakan di sini. Disebabkan hujan, aktiviti makan-makan berlangsung di dalam bangunan sekolah.
Science Fair
Makan-makan
Menanti jam 11.00 pagi.
Pelajar dari Afghanistan.
Berkisah tentang nasi lemak.
Kenalan dari India ingin tahu. Menu di sini ialah nasi lemak bungkus
dan karipap ayam.
Kawan yang datang memberi sokongan.
“Makan!”
Pasangan muda yang menemani kami
sehingga aktiviti makan-makan tamat. “Mahu nasi lemak lagi satu…bisa nggak?”
”Sila…sila…mahu lebih juga bisa.”
“Apa di dalam bungkusan ni?”
mungkin itu yang sedang mereka fikirkan. Kawan-kawan yang sudi datang.
Terima kasih banyak-banyak. Nasi lemak terakhir untuk ibunya.
Mahu mencuba nasi lemak.
Saya fikir, terlalu pedas untuknya. Jiran ‘Meja Malaysia’, dari Jordan.
Aktiviti berakhir.
Terima kasih kerana sudi datang.