Pagi ini
biru langit bersembunyi
di balik awan putih kelabu.
Baru sebentar tadi
kuiring ibu ayah ke muka pintu
selepas kusalam kukucup kudakap
senyum kami berbalas tentu
dengan harapan bertemu lagi
minggu hadapan dengan izin-Nya.
Di hatiku
terasa-rasa
seolah-olah
dicubit-cubit
bungkam.
Isnin, 23 Mei 2011
Ahad, 22 Mei 2011
Menebak Hati
Siapa kita di hati orang? Mampukah kita mengetahuinya. Ada waktunya kita dapat mengesan, ada waktunya tidak. Sebaik sahaja kita tahu, saat itu ada pilihan yang perlu kita buat. Jikalau yang dapat kita kesan itu bernada baik, dekatlah kita dengan orang itu. Jikalau sebaliknya, mungkin sebaiknya kita meminggir ataupun berlalu terus. Bukan mudah menebak apa yang ada di hati orang. Bagaimana pula hati kita. Adakah mudah menebaknya ....
Setiap waktu dan pada setiap hela nafas, hendaklah kita sentiasa ingat dan percaya sepenuhnya bahawa hanya Dia Yang Maha Mengetahui setiap apa yang ada di hati setiap orang termasuklah diri kita.
Setiap waktu dan pada setiap hela nafas, hendaklah kita sentiasa ingat dan percaya sepenuhnya bahawa hanya Dia Yang Maha Mengetahui setiap apa yang ada di hati setiap orang termasuklah diri kita.
Jumaat, 20 Mei 2011
Hadirlah
Pernahkah kau terasa
keramahan angin yang berdesir
menjamah lembut pipimu
seolah berbicara lalu
terus bermesra menyentuh
lembut jiwamu mengusir gundahmu
mengusir rajukmu yang rajin bertandang
pada saat-saat sepimu ....
Oh angin
hadirlah
moga Dia
mengutusmu
untukku ...
keramahan angin yang berdesir
menjamah lembut pipimu
seolah berbicara lalu
terus bermesra menyentuh
lembut jiwamu mengusir gundahmu
mengusir rajukmu yang rajin bertandang
pada saat-saat sepimu ....
Oh angin
hadirlah
moga Dia
mengutusmu
untukku ...
Sabtu, 14 Mei 2011
Kepala
Pohon Tidak Berdaun
Pandanganku
selalu singgah ke pohon itu
walaupun dahan-dahannya tidak dihiasi dedaunan
apatah lagi bunga-bungaan ataupun buah-buahan.
Di pohon itu
selalu kulihat beburung hinggap
melepas lelah
mengumpul tenaga
kadang-kadang seekor
kadang-kadang sepasang
kadang-kadang sekawan.
Di balik pohon itu
sering kusaksikan wajah langit nan luas terbentang
berubah-ubah warnanya
kadang-kadang umpama langit musim luruh, juga musim sejuk
dipenuhi awan putih kelabu
kadang-kadang umpama langit musim panas
birunya indah bersih memikat
namun tak pernah sekalipun kulihat langit musim bunga
tiada daun, tiada bunga, tiada buah di sana.
Pohon itu
entah-entah tidak lama lagi
kan menjadi ranting-ranting cuma
kerana tanahnya akan diratakan
dibangunkan binaan; mungkin kedai, mungkin rumah.
Entah besok entah lusa
tiada lagi pohon itu ....
Kepala
Awal pagi ini, aku dikejutkan dengan berita bahawa ada kepala orang (?) di luar jendela rumahku. Rambutnya hitam, tak nampak mata. Entah kepala itu kepala siapa. Jawapan tetap juga tiada, hingga terasa meremang bulu roma. Sempat menyedapkan hati sendiri ... Ah! Entah-entah itu bukan kepala siapa-siapa. Dan, kalau itu bukan kepala, yang hitam itu tentu juga bukan rambut siapa-siapa. Entah-entah itu hanyalah burung yang suka hinggap di tepi jendela!
Selori Papan
Pagi ini juga. Tetapi tidaklah seawal kisah tentang kepala di luar jendela. Sedikit lewat kisah ini muncul. Aku mendengar bunyi kenderaan lalu di hadapan rumah. Lalu kuintai lewat jendela kamar. Sangkaku itu bunyi lori sampah. Hampa. Lori itu bukan lori sampah. Lori itu, muatannya papan. Mungkin sekadar mengambil jalan pintas. Eh! lori itu berpatah balik menuju ke arah sekumpulan lelaki yang sedang menebas, membakar (kalau boleh kusebut belukar) berhampiran kawasan rumah yang kudiami ini. Sekonyong-konyong lori itu berhenti, sekumpulan lelaki itu berhenti melakukan kerja-kerja membersih yang mereka lakukan sebelumnya. Mereka memunggah papan dari lori itu dan menghimpunnya satu demi satu. Kemas. Teratur. Untuk apa selori papan itu? Soalan yang bermain di fikiranku itu terjawab beberapa jam kemudian. Kini, di kawasan itu sudah terbina sebuah pondok (mungkin pondok pekerja --- cepatnya!). Mungkin ada bangunan yang lebih besar yang mahu mereka bina. Lalu, bertalu-talu tanya demi tanya meluru di benakku.
Keris di Hujung Cinta
Ini adalah judul puisi tokoh penyair Sabah, Hasyuda Abadi. Di dalamnya ada perkataan api yang berulang-ulang (sebenarnya, pengulangan itu tidaklah terlalu banyak). Membaca puisi itu, menghimbau kembali zaman kecilku. Zaman sekolah rendah. Api menarik minatku. Zaman itu zamanku riang bermain bunga api. Mancis dan lilin menjadi temanku. Senang bagiku bermain bunga api. Mudah bagiku jikalau bermain masak-masak. Bekalan mancis dan lilinku selalu ada. Asal saja habis, kedai runcit berhampiran rumah tempat kutuju. Zaman itu sudah berlalu. Sekarang ini, api teman rapatku di dapur. Tiada suara ibu melarang. Tiada suaraku memberi alasan. Hmm ... jikalau sekarang di tangan anak-anakku sentiasa ada mancis dan lilin, tentu mulutku tak henti-henti melarang. Betapa kasihannya ibuku dulu, melarangku tak henti-henti. Keris Di Hujung Cinta. Puisi itu adalah tentang kisah hidup yang lebih besar kalau mahu dibandingkan dengan kisah gadis kecil yang suka bermain api (api yang benar-benar wujud sebagai api; panas, bahaya). Puisi itu mengingatkan aku tentang zaman kecilku. Zaman kecilku yang merunsingkan ibuku. Maafkan anakmu ini, wahai ibuku sayang.
Sangka
Apakah kausangka
pabila aku mengaku sebagai saudaramu
yang kupandang hanyalah tebal kempisnya kocekmu.
Apakah kausangka
pabila aku mengaku sebagai sahabatmu
yang kupandang hanyalah besar kecilnya namamu.
Apakah sejelek itu
wajah hatiku di hatimu.
Saudaraku
yang sedang mengalir di tubuh kita ini
adalah darah yang tak jauh beza
adalah darah merah warna sejarah lampau
yang wujud sebelum dirimu diriku.
Sahabatku
yang terakam dalam ingatan kita
adalah kenangan yang serupa
adalah kenangan tentangmu tentangku.
Saudaraku
baru kutahu kita adalah saudara dan
engkau mungkin takkan pernah tahu
jikalau tidak kukhabarkan padamu.
Sahabatku
baru kuingat
pernah dulu kita menjadi sahabat dan
engkau mungkin takkan pernah ingat
jikalau tidak kuingatkan dirimu.
Kuingin sekadar kautahu
kuingin sekadar kauingat
kautahu kauingat memadailah bagiku.
Entah-entah sebelum kau mengakui
bahawa aku ini saudaramu
bahawa aku ini sahabatmu
aku telah pun berlalu pergi
jauh jauh jauh dan jauh seperti selalu.
Sesungguhnya
hanya Engkaulah Yang Maha Mengetahui
betapa aku tak pernah memandang
tebal kempisnya kocek saudaraku
betapa aku tak pernah memandang
besar kecilnya nama sahabatku.
Ting! Ting! Ting!
Berdenting bunyi jam di dinding.
Syukurlah ...
aku hanya bermimpi cuma dan
segala sangkaan yang berlegar liar itu
bukanlah sangkaanmu melainkan
sangkaanku belaka ....
Isnin, 2 Mei 2011
Air
Bekalan air bersih amatlah penting dalam kehidupan kita. Pernahkah anda berhadapan dengan masalah bekalan air? Tentulah pernah, saya kira.
Pengalaman yang saya lalui ini berlaku betul-betul seminggu sebelum perayaan Tahun Baru Cina, awal tahun ini. Selama sehari air yang keluar dari paip tersekat-sekat, tersangkut-sangkut. Ah! baru sehari. Saya biarkan sahaja. Tunggu sampai besok, saya fikir. Lagipun, masih ada satu paip yang airnya mengalir lancar. Air dari tangki. Tidaklah memudaratkan kerana bekalan air tangki itu boleh bertahan lama kalau tahu berjimat menggunakan air.
Masuk hari kedua, saya sudah mula tidak senang duduk. Jabatan berkenaan segera saya hubungi. Jawapan mereka, tidak ada sebarang masalah. Lagipun, tidak ada bil air yang tertunggak. Mungkin cuma berlaku tekanan air rendah. Saya terpaksa berpuas hati dengan jawapan itu.
Malangnya, saya yang sedang sarat mengandung ketika itu, mula berasa kesannya kerana terpaksa bersusah-payah (sedikit cuma) apabila mahu memasak ataupun mencuci pinggan-mangkuk. Pendek kata, kerja memasak tiba-tiba saya rasakan sukar.
Saya hubungi lagi jabatan berkenaan. Sehinggalah punca utama gangguan bekalan air berjaya dikenal pasti. Rupa-rupanya ada kerja-kerja pembaikan atau mungkin kerja-kerja naik taraf sedang dilakukan sehingga menyebabkan ada saluran paip yang pecah. Itulah punca utama gangguan bekalan air yang berlaku selama beberapa hari itu.
Setelah punca gangguan bekalan air berjaya dikenal pasti, pihak berkenaan memberi jaminan bahawa kerja-kerja pembaikan akan dijalankan dengan segera. Sebenarnya, bukan cuma rumah yang saya huni sahaja tetapi rumah-rumah jiran juga menghadapi masalah yang serupa. Lebih parah lagi, bekalan air di rumah mereka sudah kering-kontang. Tangki sudah pun kosong!
Disebabkan cuti musim perayaan, kerja-kerja pembaikan terpaksa ditangguh. Sementara itu, pihak berkenaan menghantar bekalan air ke rumah jiran. Penyelesaian sementara itu amatlah melegakan. Sekurang-kurangnya bekalan air kembali ada. Tangki-tangki air di rumah mereka sudah terisi.
Tibalah masanya. Musim perayaan pun berlalu. Masalah yang kami hadapi selama berhari-hari, selesai dalam masa sehari.
Sejak awal lagi, boleh saja saya marah-marah, jikalau saya mahu. Tetapi, belum tentu dengan marah-marah, masalah akan selesai. Bukan sahaja masalah tidak selesai malah perasaan saling membenci tidak mustahil wujud.
Saya berasa amat gembira kerana gangguan bekalan air berjaya diatasi dengan jayanya. Saya menghubungi pegawai yang bertanggung jawab dan mengucapkan terima kasih atas tindakan pantasnya (memandang kepada situasi musim perayaan, beliau sudah bertindak pantas, saya kira) mengatasi masalah kami. Sungguhpun agak lambat dalam mengenal pasti punca masalah tetapi hal itu tidaklah menjadi besar. Sebenarnya, sayalah yang sepatutnya bersikap proaktif sejak awal lagi. Kalaulah saya tidak berlengah ....
Langgan:
Catatan (Atom)