Selasa, 2 Februari 2010

Buku Untukku

Singgah juga aku akhirnya.  Sudah berbulan-bulan aku tidak berkunjung ke Barakhon.  Apa salahnya kalau aku singgah.  Singgah sebentar sahaja pun, jadilah, fikirku.  Biasanya, jarang benar aku tidak singgah membelek buku-buku di situ.

Satu-persatu buku-buku yang ada kuperhatikan.  Buku berbahasa Inggeris menjadi tumpuanku.  Pantas saja 'Mysterious Asia' menarik perhatianku.  Kemudian, 'Young Temur' pula.  Dua buku itu kucapai satu demi satu.  Kubelek-belek lembarannya.  Menarik.

Lalu, kutanyakan harganya.  Aduh! punah segala harapanku yang baru mula berputik sebentar tadi untuk memiliki buku-buku tersebut.  Perlahan-lahan, bagai putik yang tidak jadi berkembang, kuletakkan 'Young Temur' perlahan-lahan ke tempat asalnya semula.  Mahu tawar-menawar pun hatiku jadi tawar.

Lambat-lambat pula aku meletak kembali 'Mysterious Asia'.  Kutatap lagi muka hadapannya.  Barulah ternampak 'Forgotten legends of the Great Silk Road'.  Kuselak kembali lembarannya.  

'Aku mahu buku ini,' desis hati kecilku.

Apabila balik ke tanahair kelak, tentulah tidak mudah bagiku untuk mencari buku-buku dari sebelah sini.  Jikalau pun ada, entah-entah melihat harganya sahaja, hatiku jadi tawar.

Aku pandang penjual buku yang kuyakin sejak tadi menunggu aku bersuara.  Kuagak-agak, lelaki di hadapanku itu dalam lingkungan empat puluhan usianya.  Kami sudah saling mengenali.  Sebelum ini, aku sudah pernah singgah membelek-belek buku yang disusun rapi di meja yang terletak di hadapan kedai.  Dan, pernah juga aku membeli buku-buku yang dijualnya.  

Sesi tawar-menawar pun bermula.  Harganya kurang sehingga hampir mencapai empat puluh lima peratus!  Mahu saja kutawar sehingga lima puluh peratus tetapi tidak adil pula baginya.  Aku sedar, dalam musim sejuk begini, bukannya mudah menjalankan perniagaan.  

Dia sanggup menjual dengan harga yang kumahu pun sudah mencukupi bagiku.  Kesanggupannya itu yang diiringi senyum yang tidak lekang di bibirnya menandakan yang dia tidak mengalami sebarang kerugian pun.  Entah-entah dia mendapat keuntungan seratus peratus! (Kalau betul pun, itu bukan urusanku.)

Selesai sudah urusanku di Barakhon.  Di pintu utamanya, aku berhenti sambil memandang ke hadapan.  Sempat kurakamkan gambar ini sebagai kenangan.  Masjid Hast Imam.  

Selepas itu, aku berjalan merentasi dataran.  Langkahku tidak lagi melaju.  Akhirnya, aku dapat apa yang kumahu ....

Isnin, 1 Februari 2010

Bukan Untukku

Siang tadi, aku menelusuri bandar Tashkent mencari-cari sesuatu yang berkenan di hati.  Langit membiru dan angin bertiup sepoi-sepoi bahasa, dingin menyapa wajah.  Pun begitu tetap juga terasa terik mentari memesrai wajah dan menyilau mataku.

Dua hari sudah, pencarianku sia-sia.  Yang dicari tidak muncul, yang tidak dicari pula kubawa pulang.  

Dari pasaraya Soum, aku menuju ke Barakhon.  Sambil itu, fikiranku masih teringat-ingat beg-beg comel yang diperbuat daripada kain denim dan dihias indah dengan jahitan sulaman mesin dengan benang yang berwarna-warni.  Ada juga yang diperbuat daripada kain baldu.  Kemas sekali buatannya.  

Sebaik sahaja kereta berhenti, langkahku melaju menuju ke Barakhon.  Semakin hampir ke tempat yang dituju, langkahku kian perlahan.  Hatiku sedikit lega kerana kedai yang kutuju beroperasi.  Misi seterusnya adalah mencari.  Mencari yang cantik dan menarik.  

Sejak mula tiba di sini, hasil seni sulaman Uzbek dengan mudah menarik perhatianku.  Hasil seni sulaman ini lebih dikenali sebagai suzane.  Perkataan suzane itu sendiri bermaksud jarum.  Suzane yang sudah siap ada yang dibuat sarung kusyen, alas meja, hiasan dinding, beg ataupun dibingkai mengikut selera masing-masing. 

Ada waktunya, aku berminat dengan sulaman berwarna-warni yang terang dan garang pada kain baldu berwarna hitam.  Ada waktunya, aku lebih berminat dengan sulaman berwarna-warni yang lembut pada kain berwarna putih.  

Yang pasti, setiap kali mataku terpaku lama pada hasil seni yang ada di depan mata ... aku tahu, itulah yang kumahu.  Ataupun jikalau ada sepuluh pilihan tetapi yang kerap kusentuh suzane yang sama, itulah juga yang kumahu.  Jikalau aku perlu memilih antara suzane sulaman mesin ataupun sulaman tangan, pilihan utamaku adalah suzane sulaman tangan.

Tidak sukar untukku memilih kerana tidak banyak suzane yang berjaya memikat hatiku.  Kebetulan hari ini, aku mencari yang terang dan garang.  Yang terang dan garang boleh dihitung dengan jari banyaknya.  Jikalaulah ada banyak pilihan, pasti aku akan sukar membuat pilihan sedangkan masa yang aku ada amatlah terhad.  Lagi satu yang paling aku risaukan adalah kalau-kalau aku rembat satu untuk diriku! 

Pun begitu, ada juga yang mahu kujadikan koleksi peribadi.  Yang kulakukan hanyalah mengambil gambar suzane itu sahaja.  Memadailah buat sementara waktu.  


Sesudah puas tawar-menawar, suzane yang kumahu kini dalam genggaman.  Yang sudah berada dalam genggamanku, bukanlah suzane yang ada dalam gambar di atas ini.

Niat di hati ingin segera meninggalkan Barakhon kerana ada tempat lain yang ingin kutuju.  Aku pandang ke kanan.  Singgah ataupun tidak?  Perlukah aku singgah?  Kenapa aku mesti singgah?

Isnin, 25 Januari 2010

Lukisan Harapan


Gambar hiasan

Selalu
langkahku

terarah ke sana.

Di terataknya
ada kata yang
membisik bicara
ada bisik yang
menyentuh rasa
ada rasa yang
membuka rahsia
ada rahsia yang
menyentuh jiwa
ada jiwa yang
terlukis harapan.


Ketulusannya
dengan mudah
menyentuh hatiku
dan syahdu itu pun
kerap menyapa.

Andaiku bisa
mengungkap kata
seperti dia ....

*** Baru tiba dari Semanggol.com