Jumaat, 31 Julai 2009

Kuala Penyu : Feri


Salam.

Sekian lama menyepi. Lelah menjauh dan saya masih terus sepi. Kini, sebelum Julai berakhir...inilah masukan ringkas daripada saya. Terlebih dahulu, terima kasih untuk teman-teman yang tidak jemu mendorong saya agar terus menulis. Terima kasih.

Gambar di atas, saya ambil ketika sedang menunggu 'feri' untuk membawa saya ke seberang. Kalaulah tidak berkenderaan, saya lebih suka menumpang perahu penambang. Lebih cepat begitu. Pernah juga saya menumpang perahu itu. Saya dapati, tidak ada sebarang langkah keselamatan diambil. Tidak ada pelampung atau jaket keselamatan disediakan.

Saya fikir, tuan punya perahu itu tidak mampu menyediakan kemudahan tersebut. Saya berpendapat begitu. Saya tidak tahu berenang tetapi saya tetap juga menumpang perahu itu. Keadaan itu tetap sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Tidak ada yang berubah kecuali perahu penambang semakin bertambah. Saya kira begitu.

Feri berantai itu pula sudah bertahun-tahun digunakan. Saya ada mendengar tentang projek jambatan yang sudah diluluskan. Saya tertanya-tanya, bilakah projek itu akan dimulakan? Berapa lama tempoh siap? Saya ada bertanya, tetapi tidak ada jawapan untuk soalan-soalan saya itu. Mungkin juga saya bertanya pada orang yang salah. Kini, sama seperti mereka, saya juga sedang menunggu projek membina jambatan itu dimulakan. Entah bila... dan selepas itu, masih ada lagikah perahu penambang?



Jumaat, 24 Julai 2009

Kembali Bersua


Biar aku melepas lelah
yang masih belum berlalu.
Nantikan aku...

Rabu, 24 Jun 2009

Apa Khabar?

Salam untuk semua!

M.I sepatutnya kembali saya hiasi sekitar penghujung bulan Julai. Tetapi, tidak tahan rasanya sekadar menjadi pemerhati.

Sudah beberapa hari saya bertapa di kampung halaman. Kampung tempat saya dilahirkan. Sudah beberapa kali saya meninjau pekan, melihat-lihat dan bertanya-tanya kalau-kalau ada kafe internet di sini. Nama saja saya orang sini, tetapi tidak banyak yang saya tahu tentang tempat sendiri. Kalau ada kenalan bertanya, saya sekadar menjawab bahawa di rumah orang tua saya tidak ada talian internet. Memang itu kebenarannya. Di rumah orang tua saya, bukan saja tidak ada talian internet, talian telefon kediaman juga tidak ada. Masing-masing lebih selesa menggunakan handphone.

Ketika berada di Kota Kinabalu pula, saya berusaha menahan diri untuk tidak mencatat sesuatu dalam M.I. Dalam hiruk-pikuk bandaraya Kota Kinabalu, saya berjaya menahan diri. Tetapi, dalam kesunyian kampung saya ini, saya tewas akhirnya.

Sabtu 6 Jun lalu, saya berpeluang bertemu dengan sahabat blogger iaitu Sdr. Abd. Naddin dan juga Sdr. Hasyuda. Pertemuan itu memang sudah saya rancang sendiri-sendiri sejak berada di Tashkent lagi. Alhamdulillah...menjadi realiti akhirnya. Sdr. Abd. Naddin ada menulis tentang pertemuan kami tempoh hari di sini. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Sdr. Abd. Naddin yang sudi memilih tempat untuk kami bertemu. Buat Sdr. Hasyuda, terima kasih untuk pemberian itu.

Buat teman-teman M.I, nantikan saya kembali... dan terima kasih atas sokongan kalian selama ini.

Untuk ingatan saya...

Yang kita genggam
yang kita punya
yang kita rasa
harus kita jaga
harus kita belai
harus kita rawat
kerana esok
kitalah yang akan
menjadi perindu
hari ini yang akan
menjadi semalam
menjadi kelmarin
dalam lipatan memori
hidup kita.