Rabu, 16 Mac 2011

Sekumpulan Wanita dan Sekumpulan Lelaki

Di kanan Anis, di kiri Amirul.  Kami bertiga menuju ke arah jejantas mengarah ke pasar besar.  Sambil itu, perhatian kami bertiga teralih kepada sekumpulan wanita atau lebih tepat lagi sekumpulan orang yang kelihatan seperti sebuah keluarga.  Anis sudah mula berbisik-bisik bertanya tentang mereka padahal saya sendiri tidak ada jawapan yang pasti (mula terimbas kembali tentang program televisyen yang memaparkan tentang kehidupan orang-orang laut yang menjadikan perahu sebagai tempat tinggal mereka, dan laut umpama 'daratan' luas buat mereka.)

Mereka tidak mempamer sebarang gelagat menyerupai peminta sedekah (yang mengekori kita sambil menadah tangan ataupun mengetuk-ngetuk tingkap kereta saat lampu isyarat bertukar merah -- teringat juga ketika berada di Tashkent apabila saya terasa baju seperti ditarik-tarik -- sangka saya anak sendiri tetapi sangkaan itu jauh meleset kerana yang menarik baju saya adalah seorang kanak-kanak perempuan yang sedang melaksanakan rutin hariannya -- mengemis -- entah mahu bersimpati atau bersikap bagaimana dengan mereka ini.)

Berbalik kepada sekumpulan orang tadi ... apa yang menarik perhatian kami adalah cara penampilan mereka. Lebih tepat lagi penampilan beberapa orang wanita dalam kumpulan itu.  Di wajah mereka tertepek tebal bedak sejuk  (saya fikir bedak tebal yang mereka pakai itu adalah bedak sejuk) yang berwarna kekuningan.  Selain cuma berkain batik yang tidak begitu kemas letaknya, mereka juga berkaki ayam (jam menunjukkan 10.30 pagi, mentari di Sabah sudah memancar garang -- tidakkah terasa panas tapak kaki mereka?)

Setelah yakin kehadiran mereka bukanlah ancaman (maknanya saya tidak perlu risau; saya tidak boleh berlari laju dengan kandungan yang kian sarat dan perlu melindungi dua orang anak saya yang masih kecil -- yang saya pasti boleh berlari lebih laju daripada saya tetapi tanpa saya, mereka tidak tahu ke mana mahu membawa diri.) ...kami tiga beranak mula mendaki satu demi satu anak tangga jejantas menuju ke pasar besar.  Sesekali saya menoleh juga.  Mereka ada di  belakang kami! Ah, biarkan sajalah ... mereka tidak mengganggu pun.  Mereka juga sedang sibuk mencari arah hendak dituju. (Sebenarnya, bukan cuma saya dan anak-anak saya sahaja yang tertanya-tanya tentang mereka -- ada seorang gadis manis, matanya berkali-kali melirik ke arah kumpulan yang sama, yang menarik perhatian kami tiga beranak.)

Sesekali saya perlu memperlahankan langkah.  Kandungan saya sudah mencecah tiga puluh empat minggu, sudah kian sarat.  Langkah kembali diteruskan sambil tetap memimpin tangan Anis dan Amirul.  Kami semakin menghampiri pasar.  Serta-merta pandangan saya teralih pada tiga orang lelaki yang bergelimpangan di tepi jejantas.  Dengan jelas, saya dapat melihat ada botol minuman keras berhampiran mereka (aduh, mahu mengelak kenderaan yang bertali-arus -- lalu kami menggunakan jejantas -- tetapi terpaksa pula berdepan dengan mereka ini.)  Semakin kami menghampiri mereka, bau yang kurang enak semakin menusuk ke rongga hidung.  Entah bau apakah itu; minuman keraskah atau mungkin ... (yang nyata, mereka sudah tidak peduli mahu mengurus diri!)

Dalam debar dan gusar, berjaya juga kami melepasi mereka ....

(Terdetik di hati, mungkin saya patut berhenti dulu menjelajah bandar dengan anak-anak yang masih kecil tanpa ditemani suami tercinta.)

2 ulasan:

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Salam.

1. Rasanya ini realiti. Tiga orang lelaki itu tidak patut berada di daerah yang banyak masjid. Kalau mereka berada di Penampang, logik juga. 2. Berehatlah, puan.

Wassalam.

aranam berkata...

Waalaikumussalam.

Terima kasih banyak, Cikgu.