Ahad, 24 November 2013

Sukar Dilepaskan

Baru mula membaca buah tangan terbaru Ramlee Awang Murshid. Tentang pengembaraan Saifudin - Tombiruo - Ryu-Watanabe - Mikhail - Carlos...sukar dilepaskan. Magis!



Jumaat, 15 November 2013

Kobar

Kita 
sering kali 
terlepas pandang.

Dalam riuh kobar semangat
membela dan memujuk
semangat yang luruh
di jiwa kecil
dek impian 
yang karam
tak kesampaian.

Usah pula ingatan kita
terpaling langsung
menggeleng lalu menidakkan
kegembiraan yang berlagu riang
di jiwa kecil yang lain.

Apalah kiranya
diri kita di tempat mereka.

Kita
tiba-tiba
hilang rentak.

Tatkala ingin menghibur
yang berduka walang
Tak sengaja meminggir
yang punya hak tersenyum riang.

Aneh!



Khamis, 14 November 2013

Tahniah!

Debaran di dada semakin kencang. Entah bila giliran nama buah hatiku akan disebut. Teman baru di sebelahku sudah berakhir penantiannya. Senyuman tak lekang dari bibirnya. 

Sejelas-jelasnya aku mendengar dia mengucapkan syukur sebaik mendengar nama buah hatinya diumumkan. Jumlah keseluruhan pelajar yang cemerlang mendapat semua A dalam UPSR 2013 di sekolah ini ialah seramai tiga puluh dua orang. 

Seketika pecah tawa hadirin. Seorang pelajar lelaki pantas berdiri sesudah namanya disebut. Sambil menggaru-garu kepalanya -- yang saya kira tidaklah gatal -- dia menyertai rakan-rakannya yang lain berdiri di hadapan ruang legar yang berbahang itu. 

Mentari pagi memancar terang terik seawal jam tujuh pagi. Bahangnya semakin berbisa menjelang tengah hari. Kipas siling tidak begitu memberi kesan kecualilah kita duduk ataupun berdiri betul-betul di bawahnya. 

Debaran yang menggila menyurut seketika melihat gelagat pelajar yang menggaru-garu kepala tadi. Ah, mungkin kejayaan yang tidak disangka-sangka baru saja berada dalam genggamannya. Pengumuman seterusnya bermula lagi. Dua tiga nama disebut. 

Akhirnya, giliran buah hatiku tiba jua. Syukur Alhamdulillah. Usahanya selama ini membuahkan hasil. Inilah keputusan yang diidam-idamkannya. Pipiku basah dengan linangan air mata. Sesungguhnya, aku gembira. Nun di hadapan sana, kulihat dia bagai cerminan diriku. Air mata turut mengalir di pipinya yang mulus. 

Nama pelajar seterusnya diumumkan. Pelajar itu dibantu untuk berdiri. Mungkin ada keterharuan menyergah yang secara tiba-tiba seolah-olah merantai kakinya. Dia dipapah -- mungkin ibunya, mungkin gurunya -- untuk sama-sama berdiri di hadapan dengan rakan-rakannya yang lain. 

Anak-anak ini, walau apa pun keputusan yang mereka perolehi, ada harapan yang memutik di sanubari. Kejayaan cemerlang diperolehi sesudah berusaha dengan bersungguh-sungguh. 

Siapa kita untuk menidakkan kejayaan mereka. Siapa kita untuk memperkecilkan keinginan mereka. Bukankah kita menjadi tonggak harapan mereka sebagai pendorong utama dalam mengharungi liku-liku hidup ini. Untuk buah hati mama...tahniah sayang! Semoga kejayaan sentiasa bersamamu di dunia ini dan juga di akhirat kelak.

Untuk semua pelajar yang sudah berusaha sehabis baik, tidak kira apa jua keputusan yang diperolehi...tahniah! Perjalanan masih jauh. Teruskan gigih berusaha.