Khamis, 28 Mei 2015

Luka Berdarah

Malam tadi, ketika malam di Malaysia kian larut, saya sibuk di dapur menyiapkan makan malam. Bermula dengan memotong ayam.

Sambil fikiran menerawang teringatkan Gaza. Gaza yang saban tahun memuncak derita menjelang Ramadan. Sambil menepis-nepis, menggeleng-geleng kepala menghalau lalat-lalat terlebih mesra ketika permulaan musim panas ini. 

Tumpuan terhadap kerja memotong ayam merosot. Sudahnya, bukan cuma ayam yang dipotong, kulit jari telunjuk sebelah kiri turut terhiris sekali. Hirisan itu seperti hirisan pada kulit kentang. Hirisan yang tidak putus. Jadinya, kulit masih lagi melekat. 

Yang terhiris adalah jari sendiri. Yang dibayangkan luka-luka parah di tubuh orang awam dan pejuang Gaza. Membayangkan saja, saya terus pitam. 

Mujurlah ada anak tolong membalut luka. Mujurlah ada anak tolong mengambil air buat menyingkir pitam yang menjengah tanpa diundang.

Fokus. Mesti fokus. 

Nota : Di sini, sentiasa lewat enam jam berbanding waktu di Malaysia.

:)

Jumaat, 22 Mei 2015

Malam Masih Muda

Di sini
Malam masih
Muda.

Dan aku
Tanpa besar
Rasa bersalah
Jemari lancar
Menyusun aksara
Menghimpun kata
Mencipta cerita.

Di sini
Malam masih muda.

Dan kalian
Telah berlayar
Entah ke mana
Jauh ke dasar
Mimpi.

Aranam
21/5/2015
Mesir