Selasa, 22 April 2014

Pameran Foto Mekah dan Madinah : Koleksi Foto Eksklusif dari Saiful Nang

19 April 2014 - Berkesempatan melawat Galeri Candid Syndrome di Puchong.  Dapatlah melihat-lihat pameran koleksi foto Tanah Haram 1434H hasil bidikan Saiful Nang yang telah dilancarkan pada 5 April -- kira-kira dua minggu lalu.

Setiap foto eksklusif yang dipamerkan berharga antara RM40.00 - RM3500.00. Hasil keuntungan jualan akan disalurkan kepada Rumah Pengasih Warga Prihatin

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, boleh menghubungi :

1. Emel : zaidi@candidsyndrome.com
2. Telefon : 03-80766878 / 012-2305161
3. SMS : 012-2305161
4. Whatsapp : 019-2536474

Alamat lokasi : 62-5, Jalan OP 1/5 One Puchong Business Centre, Selangor.

MEMBELI SAMBIL BERAMAL

Nota  (8/5/2014) : Sekiranya tuan/puan berminat, boleh beri alamat emel di ruangan komen. Terima kasih.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

MAKLUMAT TERKINI (Disalin terus dari dinding Facebook Galeri CS) :

Kepada semua peminat koleksi Galeri CS, kini kami sediakan Katalog AlHaram 2014 untuk memudahkan anda meneroka galeri kami secara maya.

Katalog ini lengkap dengan sais berserta harga mengikut ukuran, material samada dengan bingkai atau tidak.

Tuan, puan boleh muat turun aplikasi katalog tersebut melalui pautan berikut:



Sebarang pertanyaan, tuan puan boleh email kepada shauqi@candidsyndrome.com


Rabu, 16 April 2014

Mahu

Dia minat melukis. Dia suka melukis. Berhampiran kediaman kami, setahu saya tiada kelas khusus untuk belajar melukis. Oleh itu, saya sarankan agar gunakan kemudahan internet sebaik mungkin.

"Mama pun tak pernah pergi kelas memasak. Mama belajar melalui internet," sedikit panduan mula dikongsi. Pernyataan itu merujuk kepada resepi-resepi asing yang baru dicuba buat pertama kali. Resepi-resepi mudah yang tidak memerlukan kepakaran yang tinggi. Kemahuan yang kuat sahaja sudah memadai.

Mulanya, dia melukis kartun. Melakar. Komen daripada kawan-kawannya selalu membuat dia teruja. Selalu memberi semangat untuk dia terus melukis. Tidak kurang juga yang memberi komen sebaliknya. Itu perkara biasa. Lebih biasa lagi apabila yang memberi komen negatif itu biasanya kelompok yang sama setiap kali. Pun begitu, dia selalu terasa. Ada riak kecewa di wajahnya. 

Perlahan-lahan dia tetap meneruskan minatnya. Selain kawan-kawan di sekolah, ibu saudaranya turut memberi dorongan -- meminta dilukis gambar wajahnya. Cabaran itu diterima dengan senang hati.

Kemudian, dia beralih melukis 'doodle'. Biarlah, asalkan dia gembira. Sokongan berterusan diberi. Teguran turut diselit di mana patut. Minatnya turut dikongsi dengan adik perempuannya.

Pelajaran diutamakan, minat yang baik usah ditinggalkan.


Mata Lembu

Mata Lembu

Sebelum bulan Mac tahun ini, kisah tentang lasik sering mengisi perbualan. Setiap kali bercerita tentang lasik, ada rasa ngilu mengusik tangkai hati. Seram. 

Apabila diimbas kembali beberapa tahun ke belakang -- sebelum kemajuan dalam memperbaiki kemampuan mata yang berdepan dengan situasi rabun dekat, rabun jauh dan silau ini -- lasik umpama mimpi jadi nyata, umpama angan-angan jadi realiti. Kemustahilan yang bukan lagi mustahil.

Kembali mengenang zaman persekolahan, belahan jiwa saya bercerita. Pernah beliau bertanya pada gurunya tentang kaedah penyelesaian bagi masalah rabun. Ganti dengan mata lembu! Kisah itu disambut dengan tawa yang turut menyambung kepada kisah baru.

"Akak tak suka bila kita tanya kena jawab begitu pula," puteri sulung menyatakan pendiriannya.

"Betul. Mama pun. Cikgu bergurau saja tu. Dulu ya la ganti dengan mata lembu. Sekarang, boleh buat lasik. Janji ada duit," serentak itu dia tersenyum dengan kening sedikit terangkat.

"Ganti dengan mata lembu? Betulkah mama?" Sampuk adik perempuannya.

"Mata lembu?" Adik lelakinya pula mula bersuara.

"Mata 'libu'?" Anak bongsu yang masih pelat turut tidak mahu ketinggalan.

Ketika abah mereka bercerita, berkemungkinan besar anak-anak kurang memberi tumpuan. Tambahan pula kereta sedang bergerak laju. Tumpuan lebih diarahkan keluar. Ke arah pokok-pokok yang sedang terbakar. Asap berkepul-kepul mencemari udara. Musim tengkujuh berundur seketika. Musim kering mengambil tempatnya kini. Sehingga sekarang, hujan sering kali dirindui dan ditunggu-tunggu kehadirannya

"Libu? Mata libu?" Tanya diulang lagi.

"Cuba tengok di sana tu. Ada lembu tak? Nampak tak mata lembu?"