Selasa, 31 Mac 2009

Hanya Foto (3) - Hast Imam, Tashkent

Di sebalik pintu ini, ada Mushaf Uthmani.


Saya tidak dibenarkan merakamkannya.
Di atas ini hanyalah keterangan dalam
bahasa Uzbek, Russia, dan Inggeris.

Di dalam bangunan inilah Mushaf tersebut disimpan.

Isnin, 30 Mac 2009

Senyum Untukku

Nafasku semakin menderu. Saat ini, telingaku mula terasa panas. Tentu warnanya sudah seperti udang kukus, ataupun udang masak mentega kegemaranku. Ah! semua itu tidak mampu merawat bengkak hatiku sekarang ini.

Sejak aku mendengar tentang kebenaran yang disuarakannya padaku, aku langsung tidak memandang wajahnya walau sekali. Aku hairan, bagaimana dia boleh terlupa benda sepenting itu. Walhal dia tahu, itulah tujuan utama kami mahu berpergian ketika ini. Cuai. Memang cuai.

Menyusahkan. Menyusahkan betul. Sekarang, setelah hampir dua kilometer meninggalkan rumah, terpaksa pula berpatah balik. Membazir betul. Tidak putus-putus kesalku melanda.

Telingaku dapat menangkap dengan jelas esak tangisnya. Dalam panas membara yang menyelinap bebas menguasaiku, langsung tidak terkesan kesedihannya di hatiku. Dalam keadaan jiwa yang panas membara, aku membuat pusingan U tergesa-gesa.

Serentak itu juga, keadaan yang tidak kusangka-sangka, berlaku. Abang! jeritnya ketakutan. Ayah! jerit anak-anakku, juga ketakutan. Bunyi hon bertalu-talu, panjang. Dan, kereta Kancil itu memecut laju di hadapan. Aku tidak mampu menahan debar. Bara membahang yang menguasaiku sebentar tadi perlahan-lahan sirna.

Oh! maafkan Aku, suriku. Maafkan Aku kerana menyeksamu begini. Esak tangismu tidak kuhirau. Pohonlah kemaafan dariku sekarang juga. Pasti. Aku pasti akan memaafkanmu tanpa bertangguh.

Kalau kau masih terus menangis, masih terus diam membisu, hatiku akan terusik lagi. Hatiku akan membara lagi. Pohonlah kemaafan dariku sekarang juga. Aku menanti, dan terus mengharap di dalam hati.

Tiba-tiba, pemanduanku serba tidak kena. Kereta tidak bergerak lancar seperti biasa. Aku segera memperlahankan kereta dan berhenti di sebelah kiri jalan. Aku keluar dan memeriksa tayar. Pancit. Satu tayar pancit, tayar belakang sebelah kiri. Aku memicit-micit kepalaku. Sakit. Pening. Bingung. Meluru pelbagai persoalan di benakku. Apa akan terjadi kalau kami tidak berpatah balik? Adakah Aku yang bersalah kerana gagal mengawal emosiku? Saat ini, jauh di sudut hatiku, Aku hanya mampu mengatakan ini...maafkan Aku, wahai isteriku! Aku memandangnya. Dia juga memandangku, sayu.

Sekali lagi kuulangi, "Maafkan Abang."

Dan air matanya pun mengalir lagi sambil bibirnya menguntum senyum. Senyum untukku.

Jumaat, 27 Mac 2009

Tunggu



Tunggu, tunggu, dan menunggu
Kembang, kembang, dan berkembanglah...

Rabu, 25 Mac 2009

Mi Makcik Mi

Aku kagum melihat kepantasan Makcik Mi menyediakan mi goreng yang kupesan. Sembilan bungkus. Setiap bungkus berharga lima puluh sen. Sudah lima hari aku mengumpul duit belanja sekolahku. Aku ingin memberikan setiap ahli keluargaku seorang sebungkus mi yang dijual oleh Makcik Mi. Mi yang paling sedap bagiku.

Dalam banyak-banyak gerai yang ada menjual mi di sini, mi goreng Makcik Milah yang paling sedap. Terbayang-bayang aku betapa sedapnya mi goreng Makcik Mi. Kecur liurku. Serta-merta ada yang terlintas di fikiranku. Ketika Makcik Mi, memasukkan semua sembilan bungkus mi yang kupesan ke dalam beg plastik berwarna hitam, aku tersenyum memandangnya.

''Makcik...''

Aku sekadar memanggilnya Makcik. Makcik Mi gelaranku untuknya, sendiri-sendiri.

''Ya, ada apa?''

Tanya Makcik Mi, acuh tak acuh. Aku tiba-tiba merasa ragu untuk terus bertanya.

''Mi goreng Makcik, sedap. Saya suka sangat.''

Makcik Mi memandangku sambil tersenyum. Pasti dia gembira dipuji begitu. Memang patut dia berasa gembira. Aku benar-benar ikhlas memujinya.

''Macam mana Makcik buat? Macam mana mi Makcik boleh sedap sangat?''

Akhirnya aku tanyakan juga kepadanya. Aku lihat Makcik Mi tunduk kembali, mengacau-ngacau mi yang sudah tinggal separuh di talam berwarna merah. Selepas itu, Makcik Mi menghalau-halau pula lalat yang berterbangan barang tiga empat ekor. Penghalau lalat itu tentu dibuat sendiri oleh Makcik Mi. Cuma kayu panjang yang di hujungnya diikat beg plastik. Aku terus setia menunggu soalanku dijawab olehnya.

''Macam biasa. Macam orang lain masak juga. Ada bawang, ada kicap, ada garam.''

Eh! Takkanlah. Aku tidak puas hati dengan jawapannya. Aku pernah juga menggoreng mi sendiri. Ibu ajar. Tetapi, mi yang kugoreng tempoh hari, rasanya tidaklah sesedap mi goreng Makcik Mi. Aku bertanya lagi.

''Tak sama. Mi makcik lagi sedap. Macam mana Makcik masak?''

''Makcik letak tepung jagung.''

Oh! Agaknya di situlah letaknya kesedapan mi Makcik Mi. Aku berazam untuk mencubanya.

Kawanku yang sejak tadi mendengar perbualan kami, berkerut keningnya. Aku melihatnya, hairan.

''Kenapa rupa engkau macam tu? Siap kerut-kerut kening lagi.''

''Aku hairanlah, pasal apa kautanya macam-macam dengan Makcik tu. Aku tengok dia macam susah sangat nak jawab soalan-soalan kautadi.''

Aku tersenyum girang sambil memberitahunya yang aku mahu cuba memasak mi goreng. Masak ikut resepi Makcik Mi. Letak tepung jagung.

''Kauingat, betulkah mi tu sedap semata-mata kerana letak tepung jagung? Entah-entah ada ramuan lain lagi tak?''

Aku tidak mahu menyangka yang bukan-bukan. Aku memandang ke belakang. Gerai Makcik Mi sudah tidak kelihatan. Berjalan kaki sambil bercerita memang begitu, selalu tidak sedar; penat, jarak, beg sekolah yang berkilo-kilo.

Aku sekadar mengangkat bahu. Beg plastik di tangan kananku berpindah ke tangan kiri. Terasa berat pula. Aku melihat tangan kananku. Berbekas.

''Tunggulah aku cuba dulu. Kalau jadi, nanti aku beri tahu engkau.''

Selasa, 24 Mac 2009

Aku Ada, Bagai Tiada

Andai aku langka di sini
Menyusun bicara tiada selalu.

Lumrah sudah begitu adanya
Aku ada, bagai tiada
Aku ada, bagai tiada
Aku ada, bagai tiada.

Diam bukan maknanya lenyap
Sepi bukan maknanya sirna
Aku masih ada di sini
Memandang dan melihat
Sekadar cuma.

Isnin, 23 Mac 2009

Karpet Buatan Turki

Aku merasakan seperti sedang berada di situ. Sekarang ini, dapat kuhidu bau yang begitu menusuk dan meloyakan tekakku. Dengan menutup hidung pun, bau itu masih juga dapat ditangkap oleh deria bauku. Ingin saja aku berlari jauh dan sepantas mungkin kerana aku sudah tidak tahan lagi menghadapi keadaan sebusuk dan sehanyir ini. Terik mentari yang membahang, salah satu punca menyebabkan bau itu begitu bebas tanpa mampu disekat-sekat. Berlanggar-langgar sesama sendiri dalam udara dan hidungku jadi sasaran. Tidak cukup dengan menutup hidung, aku juga mengipas-ngipas supaya bau itu segera menjauh dan tidak terus-terusan mengerumuni rongga hidungku. Tetapi, tidak berjaya. Langau-langau yang juga semakin banyak berterbangan dengan bunyi dengungannya yang dapat ditangkap dengan begitu jelas sekali oleh deria pendengaranku. Aku cuba menahan nafas. Tiba-tiba saja mataku terpaku ke arah ulat-ulat kecil yang meliuk-lintuk tidak jauh dari tempat aku berdiri. Begitu banyak. Amat banyak pada pandanganku. Aku seperti dapat mendengar bunyi geselan ulat-ulat itu. Bulu romaku merinding. Tiba-tiba saja aku terjeluak. Sekali, dua kali.

‘’Rina, kenapa dengan engkau ni?’’

Aku tidak dapat berkata apa-apa. Sekali lagi aku terjeluak. Tanpa berlengah lagi, sambil menutup mulut, aku segera mengangkat punggung. Sambil menggeleng-gelengkan kepalaku, aku terus berlari menuju ke bilik air. Sempat. Mujurlah aku tidak mengotori karpet buatan Turki berbunga merah yang indah terhampar di ruang tamu milik sahabatku. Mujurlah aku dapat menerka dengan tepat lokasi bilik air rumah sahabatku yang baru pertama kali kukunjungi.

Ketika berlari tadi, terasa sungguh badanku semakin berat. Langkahku berat. Pertambahan beratku ini pasti tidak mendadak. Cuma aku yang tidak sedar. Selama ini memang aku tidak perasan pun. Setiap hari melihat cermin yang sama sehingga aku tidak dapat mengesan sebarang perubahan. Tidak wujud lagi rupanya kepantasanku berlari seperti sepuluh tahun dahulu, ketika aku sering menjuarai acara lari pecut seratus meter di sekolahku.

Terasa lapang sedikit fikiranku mengimbas kembali kenangan yang telah bertahun-tahun berlalu. Namun dengan tidak semena-mena jantungku tiba-tiba saja berdegup kencang. Aku teringat sahabatku yang masih duduk di ruang tamu sambil menghadap kisah yang telah membuatkan aku berasa loya. Baru aku teringat, aku langsung tidak meminta kebenaran pun untuk menggunakan bilik airnya.

‘Entah apalah yang difikirkan oleh sahabatku ketika ini. Mudah-mudahan dia tidak berfikiran yang bukan-bukan.

Ahad, 22 Mac 2009

Namaku M.I.

Namaku M.I.
Inilah kisahku.

Tika aku bermula
Di gelanggang ini
Segalanya bermula dari sifar
Pencakku serba onar.

Kerana bermula dari sifar
Kekadang langkahku serba tak kena
Memang sahih tiadalah gerakku bernama
Langkah gelombang dua belas.

Suaraku pula
Kekadang timbul kekadang tenggelam
Pabila sesekali aku menutur kata
Yang kedengaran hanyalah
Suara-suara sumbang.

Kekadang sengau
Kekadang serak
Kekadang garau
Kekadang gagap
Tidak kurang juga
Nyaring membingit.

Namun kuteruskan jua
Berada di tengah gelanggang ini
Walau pencakku tidak sempurna
Walau suaraku sumbang bergema.

Aneh menyentuh tangkai kalbuku
Di sekitarku dapat kutangkap
Ada suara yang mahu aku terus
Berpencak di sini
Ada suara yang ingin aku terus
Bertingkah di sini
Pada ketika lelahku menyapa.

Andai silap langkah kuatur
Andai aku laksana menyumbar
Andai aku laksana bersawala
Tidak sesekali niatku begitu.

M.I namaku
Tiada niatku menyinggung rasa
Sesiapapun jua dengan sengaja.

Sabtu, 21 Mac 2009

Musim Bunga Datang Lagi

Musim bunga
datang
lagi
melambai dingin
yang
kian menjauh.

Jumaat, 20 Mac 2009

Hanya Foto (3)


Yang comel dan lucu.


Yang cantik dan berseni.

Khamis, 19 Mac 2009

Cikakak di Rumah Nenek (3)

Sebelum membaca dengan lebih lanjut Cikakak di Rumah Nenek (3), anda dipelawa singgah di sini terlebih dahulu.

-------------------------------------------------------------------------------------------------


Malam ini, Mama, aku, dan adik-adik, makan malam bersama-sama tanpa Abah, sama seperti beberapa malam sebelum ini. Mama kelihatan ceria sangat. Mungkin kerana sebentar tadi Abah menelefon. Dapatlah bergilir-gilir bercakap dengan Abah, termasuk aku.

Mungkin Mama telah memberitahu Abah yang Adik kurang sihat sejak beberapa hari ini. Siang tadipun, Adik dinasihatkan oleh guru kelasnya supaya balik ke rumah untuk berehat. Kepala adik sakit sangat. Aku kasihan melihat Adik. Selera makannya pun tidak menentu sejak dua tiga hari ini.

Ada sesuatu yang menghairankan aku. Tadi, Mama bercerita lagi tentang Cikakak. Cerita yang sama sekali berbeza berbanding kisah Cikakak yang ingin kusampaikan kepada Adik. Adik berkali-kali bertanya Mama,

''Mama, ini cerita betulkah?''

Banyak kali Adik bertanya. Dan, setiap kali sebelum Mama menjawab soalan Adik, Mama mensyaratkan supaya Adik makan sesuap bubur nasi daging yang sudah semakin sejuk di hadapan Adik.

Mungkinkah cerita Mama kali ini semata-mata ikhtiar Mama supaya Adik mahu menjamah makanan. Dalam keadaan sihat pun, Adik agak sukar menghabiskan makanan, apatah lagi dalam keadaan kurang sihat seperti sekarang. Agaknya Mama menyedari yang pujukan Mama tidak memberi kesan seperti yang Mama harap-harapkan.

Setiap kali Mama berhasil memujuk adik, hanya sesuap dua sahaja yang mahu dikunyahnya. Aku yakin, Mama memang amat menyedari perangai Adik yang suka bertanya itu. Ai pula, aku tengok wajahnya pasti akan berubah setiap kali Mama bercerita tentang Cikakak.

Kenapa dengan Ai? Apa yang mengganggunya apabila mendengar tentang Cikakak versi baru yang diceritakan Mama. Sesungguhnya, Adik dan Ai tidak mengetahui bahawa cerita Mama itu merupakan versi baru yang diolah Mama sehingga membuatkan kening Ai berkerut semacam. Ai kenapa? Kenapa dengan Ai?

Aku sedar dan ingat dengan pasti, cerita Cikakak Mama pada malam ini, langsung tidak sama dengan Cikakak yang pernah kujeritkan ketika usiaku sembilan bulan dulu, seperti yang pernah diceritakan oleh Mama kepadaku, seperti yang hampir kuceritakan kepada Adik beberapa hari yang lalu, sebelum Adik jatuh sakit. Kasihan Adik....

Kenapa cerita Mama tentang Cikakak tiba-tiba berubah? Aku sendiri terbayang-bayang Cikakak yang baru diceritakan Mama. Aku cuba melukisnya di dalam fikiranku. Aku cuba melukis rupa Cikakak seperti yang diceritakan Mama di atas kertas yang ada di hadapanku.

Kebiasaannya, aku memang tidak ada masalah menghabiskan makanan yang disediakan Mama. Selepas menghantar pingganku yang telah licin ke dapur, aku segera mengambil pen dan kertas. Aku memang suka menconteng-conteng di atas kertas, lebih-lebih lagi aku ingin benar melakarkan bagaimana sebenarnya kewujudan Cikakak versi baru ini.

Sejujurnya, aku lebih suka mendengar versi baru Cikakak. Kalau Mama teruskan cerita ini dengan lebih lanjut lagi, lagilah aku suka. Sesekali Aku, Adik yang berjaya menghabiskan bubur nasi dagingnya, dan Mama yang bercerita dengan penuh penghayatan berkongsi rasa di meja makan yang biasanya sunyi sahaja sejak beberapa hari ini. Cuma aku simpati melihat Ai. Ada sesuatu yang mengganggunya. Ketika kami bertiga ketawa, Ai sekadar memandang sahaja.

''Ai, Ai kenapa dik?''

Ai tidak menjawab walau sepatah pun. Dia sekadar menggeleng-gelengkan kepalanya sambil memandangku dengan kerut yang masih menghiasi wajah comelnya, dengan mulut yang sedikit dimuncungkannya. Mahu sahaja aku tergelak melihat telatahnya. Tetapi, aku menahan tawaku kerana simpatiku terhadapnya lebih mengatasi perasaan geli hati yang tiba-tiba sahaja sirna.

''Mama, Cikakak tu betul-betulkah ada?''

Mama tersenyum mendengar soalan Ai. Mama mengatakan kepada Ai, bukankah Ai sudah melihat Cikakak yang Mama lukis di atas kertas, petang tadi. Menurut Mama, petang tadi Ai bukan main lagi ketawa melihat wajah Cikakak yang Mama lukis.

Selepas Mama menjelaskan tentang Cikakak yang ditanya oleh Ai, kali ini giliran Aku dan Adik pula yang saling berpandangan sesama sendiri.

Baru sahaja kami berdua mahu membuka mulut untuk bertanya, Mama segera meletakkan jari telunjuk kanan di bibir Mama, syyy...nanti kita sambung lagi....


Rabu, 18 Mac 2009

Titik Perhentian

Di tengah-tengah ruang kecil itu
yang gunanya tiga dalam satu
Santai, makan, tidur...
Duduk seorang tua ditemani seorang anak kecil.

Di tubir mata anak kecil itu
Masih ada sisa air mata
Esaknya masih belum hilang
Belum juga bertemu titik perhentian.

Baru sebentar tadi
Anak kecil itu ditinggalkan di situ
Tanpa rela dan tanpa mahunya
Bukan sahaja esoknya kian kelabu
Malah sekarang juga tiada berbeza.

Di matanya seperti baru semalam
Dia bergurau senda dengan ibu dan ayah
Dia berkejar-kejaran dengan saudara serahim
Kini, dia menyandang gelar yatim piatu
Menumpang kasih di teratak rindu
Milik datuknya yang tetap membisu
Merenungnya dengan wajah pilu.

Mereka terpinggir di celah kepesatan
Dunia pantas mengejar kemajuan.

Selasa, 17 Mac 2009

Kemurnian Sebuah Ikatan

Anak kecil itu berjalan laju sambil sesekali menyeka air matanya yang masih belum mahu berhenti mengalir. Esak tangisnya jelas kedengaran.

Jelas kedengaran di telinga temannya yang mengekorinya sejak tadi. Di wajah temannya yang berkulit cerah dan bertocang dua hingga ke paras setengah belakang itu, jelas sekali tergambar kerisauan. Di hatinya tentu sekali ada rasa simpati melihat temannya masih belum surut tangisannya. Jangan-jangan lengan temannya itu masih belum hilang rasa sakitnya, dia berduga-duga. Ketika mereka meninggalkan kawasan padang sekolah, loceng sedang berbunyi menandakan waktu rehat telahpun tamat.

Dia sedar, dialah yang mengambil keputusan untuk mengekori temannya yang sedang berjalan laju lebih kurang tiga meter di hadapan meninggalkannya. Sesekali orang kampung yang lalu-lalang kelihatan ada yang berkerut keningnya melihat temannya yang sedang menangis itu. Dia sekadar memerhati pandangan dua tiga orang yang kelihatan juga tanda tanya di wajah mereka apabila melihat keadaan temannya itu. Sesekali terlintas di dalam hatinya, jauh lagikah tempat yang dituju oleh mereka.

Dia faham benar temannya yang sedang berjalan laju di hadapannya sekarang ini sudah tidak peduli tentang perasaan malu yang selalu menebal di jiwanya. Tangisannya yang bertali-arus itukah atau kesakitan yang dialaminyakah yang menyebabkan perasaan malu itu seakan tidak wujud dalam dirinya pada ketika itu. Dia tidak tahu yang mana satukah lebih tepat mewakili temannya yang tetap juga masih menangis, sejak tadi.

Sejak sepuluh minit yang lalu ketika mereka meninggalkan padang sekolah. Saat ini jantungnya berdegup begitu pantas. Segera dia teringat sekarang ini ialah waktu mata pelajaran bahasa Inggeris. Dia terbayang-bayang wajah gurunya yang begitu digeruni oleh murid-murid Tahun Empat Murni, termasuk dirinya sendiri. Ketakutan mula meresapi sanubarinya. Langkahnya serta-merta terhenti. Mahu meneruskan mengekori temannya atau mahu berpatah balik ke sekolah.

Ketika ini, dia sedar, hanya dia seorang yang mampu membenar atau menidakkan pengaduan yang akan dibuat oleh temannya. Tiba-tiba dia terasa akan memikul tanggungjawab yang cukup besar dan amat bererti sekali. Penyaksiannya kelak besar kemungkinan akan menyebabkan seseorang akan terhukum. Dia tidak berani membayangkan lebih jauh lagi. Temannya itu sudah begitu akrab dengannya.

Tidak tega rasanya dia membiarkan temannya itu berada dalam kesedihan yang teramat sangat seperti itu. Namun, apabila teringatkan gurunya, sepantas itu jugalah jantungnya kembali berdegup kencang, sekencang nafasnya yang tercungap-cungap kerana kakinya tiba-tiba sahaja melangkah laju mengejar temannya yang sudah terlalu jauh meninggalkannya. Dia berlari dan terus berlari.

‘’Ain! Tunggu aku!’’

Dia tidak kuat berlari. Nafasnya cepat semput. Mujurlah temannya itu memperlahankan sedikit langkahnya. Serentak itu juga temannya segera menoleh ke belakang, ke arahnya. Betapa berserabutnya muka temannya itu. Matanya yang sedia kecil itu menjadi semakin kecil dengan sembap yang mula telah kelihatan. Mujur kulitnya yang sawo matang itu mampu menyembunyikan rona merah yang mungkin hadir akibat panahan matahari pagi yang mula memancarkan bahangnya ketika itu. Lebih kurang dua jam lagi matahari akan berada tegak di ubun-ubun.

‘’Jauh lagikah, Ain?’’

''Sudah dekat. Mahu sampai sudah.''

Dalam sedu-sedan, temannya yang dipanggil Ain itu bersuara juga menjawab pertanyaannya sambil menunjuk ke satu arah. Tiba-tiba tanpa diduga, muncul kerisauan baru yang serta-merta menerjah ke benaknya. Apa yang mungkin akan berlaku apabila mereka tiba di sana, ke tempat yang ditunjuk oleh Ain tadi. Sekali lagi dia tidak mahu membayangkan apa-apa walaupun bayangan itu tetap datang juga tanpa ia pinta, samar-samar namun begitu merisaukan. Mereka terus melangkah, dengan sedu-sedan Ain yang masih bersisa, dengan cungap deras dan kencang nafasnya yang terasa begitu melelahkan. Dia segera mengeluarkan sesuatu dari poket sebelah kanan baju kurungnya. Poket kanannya yang selalu menggelembung, yang sering menjadi bahan gurauan teman-teman lain, teman-teman lain tetapi tidak termasuk Ain. Ain tidak pernah turut sama mentertawakannya gara-gara poket kanannya yang kelihatan jelas kembungnya, setiap hari.

Percaya

Ketika ingin memulakan sesuatu perkara baru dalam hidup kita, tidak jarang di antara kita yang akan merasa betapa kesukaran itu sering saja datang menghimpit. Ketika seseorang itu masih bayi, untuk memulakan langkah pertama, sering kali dorongan dan motivasi yang kuat diberi oleh insan-insan yang berada di sekelilingnya sama ada ibu bapa, saudara serahim, datuk, nenek, ataupun sesiapa juga yang merasa akrab dengannya.

Langkah pertama seorang bayi walaupun sebenarnya tidak mudah kerana langkah itu pertama kali dilakukannya tetapi antara faktor yang ternyata amat membantu ialah faktor motivasi. Sejak awal lagi, itulah yang diperlukan oleh manusia, sejak sekecil-kecil bayi. Dorongan kuat dari luar dirinya yang mampu membuatnya lebih bersemangat untuk memulakan langkah pertama.

Semakin kita menginjak dewasa, tidak ramai di antara kita yang memiliki begitu ramai orang di sisi untuk memberi dorongan sedemikian, lebih-lebih lagi ketika kita amat memerlukannya. Jika ada seorang pun di sisi kita, itu sudah boleh dikira cukup baik sekali.

Tidaklah pula boleh dikatakan jika kita seorang diri maka tidak ada suatu kebaikan apa pun yang akan kita nikmati. Kita tetap ada Allah s.w.t yang sentiasa tidak kurang sedikit pun kasih dan sayangNya terhadap kita, cuma kita yang sering tidak mengerti.

Bertuahlah kalau di antara kita memiliki begitu ramai insan yang sentiasa ada ketika kita susah dan senang. Bertuahlah kita kalau ramai insan yang ada di sekeliling kita bersikap jujur dan ikhlas ketika mendekati kita. Dan, bertuahlah kita seandainya tidak wujud prasangka dan sikap mempercayai itu dapat kita berikan kepada insan yang berhak.

Malangnya, semakin kita menginjak dewasa dan melalui pelbagai pengalaman yang bermacam ragam, ramai di antara kita terlalu dan teramat sukar untuk memberi percaya walau dengan insan yang paling dekat dengan kita sekali pun.

Itulah hakikat yang perlu ditempuhi begitu ramai di kalangan kita, kerana semakin lama kita meniti kehidupan, semakin banyak pula situasi yang membenarkan pilihan kita iaitu tidak mudah memberi percaya. Ada hikmah untuk setiap apa yang berlaku, hanya kita yang tidak mampu melihat dan mentafsirnya dengan yakin. Tetapi, bersediakah kita untuk memegang tanggungjawab andai kita dipilih untuk diberi percaya?

Di sisi kita
Jika ada yang berhak
Menerima percaya
Maka berikanlah
Walaupun hanya sedikit
Walaupun hanya secubit
Berikanlah...
Jika kita yakin dan pasti
Haknya untuk diberi percaya
Memang ada
Berikanlah...
Jika hak untuk memberi percaya itu
Jika yang menggenggam percaya itu
Adalah kita.

Isnin, 16 Mac 2009

Cikakak di Rumah Nenek (2)

Sebelum membaca dengan lebih lanjut Cikakak di Rumah Nenek (2), anda dipelawa singgah di sini terlebih dahulu.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

‘’Kakak, ini apa?’’

Lamunanku serta-merta terhenti. Adikku sedang cuba menyiapkan kerja yang diberi oleh gurunya. Sudah menjadi kebiasaan kami menyiapkan kerja sekolah sebelum malam menjelma.

Mama sering bertegas tentang hal itu. Mama tidak suka melihat kami membuat kerja sekolah pada sebelah malam. Menurut Mama, malam adalah waktu untuk kami sekeluarga menghabiskan masa bersama.

Biasanya, Abah balik agak lewat. Pernah suatu ketika, aku dan adik-adik sukar menerima keadaan itu. Amat jarang kami dapat bergurau senda dengan Abah. Tetapi, semakin lama kami semakin dapat memahami.

Kami tidak mahu menyusahkan Abah dan Mama, kerana itulah sejak akhir-akhir ini kami sudah jarang bertanya kenapa Abah jarang meluangkan masa bersama kami. Dan, kerana itu jugalah kami mengerti bahawa kami mesti menyiapkan kerja sekolah sebelum malam, kerana waktu malam sahaja kami berpeluang bermanja dengan Abah

Lazimnya, aku membantu adik sekadar mampu. Jika tidak tahu juga, kami akan cuba meminta bantuan Mama. Jika Mama tidak dapat membantu kami, kami akan menunggu Abah pulang dari kerja. Kami akan cuba menyiapkan kesemua kerja sekolah. Cuma yang perlu dirujuk dengan Abah sahaja yang biasanya akan dibiarkan kosong. Paling tidak pun, akan diletakkan jawapan yang kami fikirkan betul.

Tahun lepas usiaku genap sembilan. Sekarang ini, aku masih berusia sembilan tahun. Tahun ini usiaku akan menginjak sepuluh. Adik perempuanku usianya masuk lapan manakala adik lelakiku masuk lima usianya.

‘’Kakak, tadi Adik tengok Kakak termenung panjang. Apa yang Kakak fikir tadi tu?’’

Adikku memang rajin bertanya. Bukan sahaja hal pelajaran. Hal-hal lain juga. Adikku yang kecil sekali pun begitu juga. Entah-entah ketika aku seusia mereka pun, perangaiku seperti itu juga. Err…sebenarnya sehingga sekarang pun aku masih lagi rajin bertanya.

''Kerja sekolah Kakak dah siap?''

Bertubi-tubi pula soalannya. Soalan yang tadi pun belum sempat kujawab.

''Adik nak Kakak jawab yang mana dulu ni?’’

Sengaja aku mengusiknya. Dia cuma tersengih mendengar pertanyaanku.

''Kerja sekolah Kakak dah siap. Sikit sangat kerja yang cikgu bagi hari ni. Kerja Adik dah siap?’’

‘’Kerja Adik pun dah siap, Kak. Yang Kakak tolong tadilah yang akhir sekali perlu Adik siapkan.’’

Aku tahu dia menunggu jawapan untuk soalannya yang pertama. Aku membalas senyumannya.

‘’Kakak teringat cerita Mama…’’

''Cerita apa Kak?''

Wah! Tak sabar sungguh Adikku yang seorang ini menunggu aku menjelaskan lebih lanjut. Pantas saja dia memotong.

‘’Adik selalu macam ni tau…’’

Aku mula menunjukkan rajukku. Rajuk yang sering membuatnya mengaku kalah pada Kakaknya yang memang terkenal manja.

‘’Nak dengar tak?’’

‘’Nak…nak…’’

‘’Tak naklah Kakak cerita, Adik bukannya nak dengar pun…’’

Ahad, 15 Mac 2009

Kerbau Dilepas, Kebun Dipagar

Saya begitu tertarik membaca artikel Taman Ramuan Jeanne dalam Berita Harian Online hari ini. Selepas membaca artikel itulah, mendorong saya untuk menulis kisah yang bersangkut-paut dengan pengalaman sendiri.

Tahun lepas, saya berpeluang berkebun. Tetapi tidak pada tahun ini. Sedikit kawasan tanah di halaman belakang dan depan rumah telah ditanam rumput hiasan. Pasti tuan rumah tidak senang jika saya merosakkan rumput yang telah ditanam. Belanja yang dikeluarkannya bukan sedikit untuk tujuan itu.

Tahun lepas, dapatlah juga saya menanam pokok cili, daun sup, daun bawang, daun parsley, dan pokok-pokok bunga termasuklah bunga mawar. Apa yang mampu saya lakukan ialah sekadar menanam pokok dalam pasu. Oh! baru saya teringat, di tepi rumah ada sedikit kawasan yang boleh saya gunakan untuk menanam satu dua pokok di situ. Kemungkinan besar, saya akan menanam serai dan halia di situ. Itupun kalau saya mendapat bekalan serai dan halia yang segar. Ini kerana halia dan serai yang ada dalam stok saya telah disejukbekukan.

Tiba-tiba saya terkenang ibu di kampung yang terpaksa mengambil masa yang lama untuk berfikir sebelum mula mengambil keputusan untuk berkebun. Bukan kerana ibu tidak mahu. Ibu memang amat gemar berkebun. Tetapi, ibu terpaksa berfikir banyak kali hanya disebabkan kewujudan kerbau-kerbau yang dibiarkan berkeliaran di sekitar kampung.

Kerbau-kerbau itu sudah tentu akan memusnahkan tanaman ibu. Pernah saya bertanya ibu, tidakkah keadaan itu diadukan kepada pihak yang berkenaan. Ibu mengatakan, mereka sekadar menyatakan bahawa kerbau dilepas, kebun dipagar, dan b*** ditembak.

Bukan tidak ada aduan yang pernah dibuat oleh penduduk kampung. Tetapi, itulah...sehingga sekarang tidak ada sebarang usaha yang telah dilakukan. Tidak tahulah pula kalau-kalau ada usaha yang sedang dilakukan menuju ke arah penyelesaian yang diharap benar oleh penduduk kampung.

Saya dapati masalah binatang ternakan yang berkeliaran ini bukan sahaja terpaksa dihadapi keluarga saya yang baru sahaja menetap di kampung. Malah, di kampung lain juga. Setakat yang saya tahu, Kota Marudu dan Kota Belud juga berdepan dengan masalah yang serupa. Tidak mustahil, ada tempat lain atau negeri lain yang berdepan masalah yang serupa.

Kampung saya terletak dalam Mukim Mentabawan dalam daerah Kuala Penyu. Saya dilahirkan di situ tetapi kalau dikira-kira, sehingga usia saya sekarang ini, tidak sampai setahun lamanya saya pernah menghabiskan masa di kampung kerana kami sekeluarga menetap di Kota Kinabalu. Di kalangan adik-beradik, cuma saya seoranglah yang dilahirkan di kampung, di rumah arwah nenek, rumah yang sudah tidak wujud lagi sekarang ini.

Semasa kecil, keganjilan ini menjadi kebanggaan bagi saya. Dilahirkan di kampung membanggakan saya. Itu sebelum mendengar cerita ibu tentang kesukaran ibu bertarung nyawa melahirkan saya. Menurut ibu, waktu itu, nyawa kami berdua seperti telur di hujung tanduk. Selepas itu, barulah kebanggaan saya beransur-ansur kurang. Bagi saya, terus memiliki perasaan bangga yang menebal itu samalah seperti saya langsung tiada simpati terhadap ibu.

Kami amat langka balik ke kampung atas sebab-sebab tertentu. Kalau dulu, ketika saya masih kanak-kanak, kampung bagi saya ialah dapat memijak paya bakau, menelusuri denai-denai yang becak ketika musim hujan, mencari daun simpur untuk dibuat pembungkus tapai, mencari sayur lemiding (atau lembiding atau mungkin juga ada nama lain bagi sayur hutan ini yang sering tumbuh dengan banyaknya terutama selepas hujan, kalau saya tidak silap), minum air kelapa muda segar yang baru dikait, dan menaiki sampan untuk ke pekan. Semua itu indah bagi saya.

Ketika itu yang agak mengganggu ialah apabila terpaksa minum air perigi atau lebih selalu kami menyebutnya air telaga dengan bunyi sebutan telaga', saat itu mulalah membanding-banding betapa sedapnya meminum air paip yang telah dijerang. Sehingga kini, sebenarnya saya lebih betah di kampung. Kedamaian kampung begitu dekat di hati saya. Cuma satu inilah yang agak mengganggu. Binatang-binatang ternakan yang berkeliaran, selain binatang liar yang memang lazim terdapat di tempat yang namanya kampung.

Masalah ini mengganggu ibu bapa saya. Masalah binatang berkeliaran ini. Tidak adil rasanya, membiarkan penduduk kampung yang ramai, memagar kawasan kebun atau kawasan rumah sendiri. Belanja yang diperlukan bukannya kecil. Tidak adakah satu cara yang dapat difikirkan supaya binatang ternakan itu tidak dibiarkan berkeliaran lagi?

Baru-baru ini ibu nekad memagar sedikit kawasan (mungkin halaman belakang) untuk membolehkan ibu berkebun. Kasihan ibu. Kerja-kerja yang dilakukan itu membuat ibu jatuh sakit selama hampir dua minggu. Apabila saya pulang nanti, itulah antara perkara yang ingin saya lakukan. Menolong ibu berkebun. Dan, mungkin juga saya boleh menolong membesarkan kebun ibu. Menolong ibu memagar kebun.

Mudah-mudahan saya cukup kuat dan dikurniakan kesihatan yang baik untuk membantu ibu. Sekiranya berpeluang, saya juga akan bertemu dengan pihak yang berkenaan untuk mengetahui dengan lebih lanjut sama ada mereka mempunyai perancangan untuk mengatasi masalah kerbau-kerbau berkeliaran yang dihadapi oleh penduduk kampung atau tidak. Saya berharap akan mendengar sesuatu yang lebih baik daripada kerbau dilepas, kebun dipagar, b*** ditembak.


Selamat Pagi

''Selamat pagi. Apa khabar?''

''Selamat pagi. Saya baik-baik saja. Awak apa khabar?''

''Baik. Jemput duduk, Puan.''

Rina menyapa mesra isteri tuannya yang jarang-jarang menunjukkan muka di pejabat itu. Kalau dia tidak silap, ini kali ketiga dia muncul di situ. Pagi itu akan ada pembentangan tentang aktiviti amal yang perlu dikongsi dengan isteri kakitangan, sebab itulah isteri tuannya itu datang pagi ini. Selain itu, yang lebih utama, isteri Tuan Besar akan menyertai mereka. Seketika kemudian, Rina kembali menyambung tugasnya yang terhenti sebentar tadi.

Selang lima minit kemudian, masuk pula Lisa. Lisa menghadiahkan senyuman pada wanita yang baru bertegur sapa dengan Rina sebentar tadi. Senyumannya berbalas. Lisa duduk di hadapan wanita itu.

''Anda wartawan?''

''Tidak. Saya bukan wartawan.''

Wanita itu sedikit terkejut menerima pertanyaan Lisa. Dia mengandaikan soalan itu ada kaitan dengan kamera yang dipegangnya. Seingatnya, dia sudah pernah menemui Lisa sebelum ini.

''Rambut awak dah pendek sedikit, Lisa.''

Dia sengaja berkata begitu kerana setahunya sebelum ini potongan rambut Lisa agak berbeza. Kalau dia tidak silap, baru hujung minggu lepas Lisa datang ke rumahnya untuk mendapatkan tandatangan suaminya. Dokumen yang dibawanya itu perlu ditandatangani segera tanpa boleh ditangguh-tangguh. Lisa dalam keadaan agak tergesa-gesa waktu itu. Dia hanya berdiri di muka pintu. Dan, sebelum itu mereka sekadar berbalas senyuman dan bersalaman seadanya. Waktu itu sebenarnya, wanita itu agak terkejut kerana dia menjangkakan kedatangan Lisa yang lain. Bukan Lisa yang ini.

''Oh! rambut saya memang begini. Mungkin yang anda maksudkan Lisa yang satu lagi. Di pejabat ini ada lebih dari seorang yang bernama Lisa.''

Lancar saja Lisa menerangkan.

''Lisa, kenalkan...isteri Tuan.''

Rina meninggalkan sebentar tugas yang begitu menuntut perhatiannya. Sebentar lagi, pembentangan akan bermula. Tetamu penting mereka akan tiba bila-bila masa saja dari sekarang.

''Isteri Tuan?''

Matanya membulat dan pantas tangannya menutup mulutnya yang sedikit terbuka.

''Ya. Kita pernah berjumpa sebelum ini.''

''Maafkan saya. Saya tidak perasan, Puan. Saya sangka Puan salah seorang anggota delegasi.''

Wajah Lisa berubah serta-merta. Rona merah jelas kelihatan di kedua-dua belah pipinya yang putih gebu. Kedua-dua tangannya memegang wajahnya yang masih lagi kemerah-merahan. Dia turut menggeleng-geleng kepalanya. Senyum dan tawanya seiring. Mungkin dia masih belum dapat menghilangkan perasaan yang menerpanya waktu itu.

''Tidak mengapa.''

Wanita itu tersenyum. Dia simpati melihat Lisa berkeadaan sedemikian. Seorang lagi kakitangan wanita yang memang ada di bilik itu sejak tadi, segera menghampirinya sambil tersenyum dan menyatakan rasa kesalnya kerana tidak mengenali wanita itu. Kemudian, dia dihampiri oleh beberapa orang lagi wanita yang baru memasuki bilik mesyuarat itu. Masing-masing memperkenalkan diri sambil bersalam dengan wanita yang dipanggil Puan itu.

Kali ini giliran wanita itu pula tidak senang duduk. Dia serba-salah kerana sudah membuat ramai orang serba tidak kena pada pagi itu. Mujur juga dalam keadaan serba-salahnya itu, tetamu yang dinanti kehadirannya tiba-tiba muncul di muka pintu. Pandangan mereka bertaut dan kedua-dua wanita itu saling berbalas senyuman. Rasa serba-salah yang sempat menyinggahinya sebentar tadi perlahan-lahan berlalu pergi....

Akademi Fantasia (AF)

Program realiti AF sudah memasuki musim ketujuh rupanya. Saya merasa amat bertuah kerana tidak merindui AF. Mujurlah demam AF itu setakat musim pertama sahaja. Musim pertama itulah saya fikir yang paling panas. Musim pertama yang dijuarai oleh Vince. Bayangkanlah kalau sehingga sekarang saya masih tidak boleh berenggang dengan AF, pasti kerinduan saya akan berganda. Aduh! kalaulah ada peminat fanatik AF membaca entri ini, pastilah ada yang tidak senang. Sengaja saya ingin berkongsi. Tanpa ada niat untuk menyinggung perasaan sesiapa.

Pun begitu, dalam tidak demam mengikuti AF sejak tahun 2004, sekali-sekala mahu juga mengambil tahu. Tambahan pula, ramai orang di sekeliling saya yang sering bercerita tentang AF. Sekadar mengambil tahu. Itu sahaja. Menjadi peminat fanatik terhadap artis tertentu, rasanya saya tidak pernah melaluinya. Bukanlah bermakna saya langsung tidak meminati muzik. Ada juga satu dua lagu yang boleh saya ingati liriknya. Tetapi, cuma lagu-lagu lapan puluhan. Lagu-lagu yang sering berkumandang di radio ketika saya masih hingusan.

Sekarang ini, saya sudah tidak mengikuti dengan tekun rancangan-rancangan yang disiar di televisyen, lebih-lebih lagi ketika berada di tempat orang. Sekali-sekala bertemu keluarga, setelah menanggung rindu sekian lama, kadang-kadang ada juga terasa hati apabila bertali arus rancangan kegemaran diikuti tanpa henti. Akhirnya, saya juga terpaksa memilih untuk menyusun acara sendiri yang secara tidak langsung menyumbang ke arah merenggang hubungan yang sepatutnya dirapatkan setelah lama tidak bersua. Mungkin juga saya yang terlalu mudah terasa. Perkara-perkara sekecil itupun mahu diambil kira. Apalah yang mahu diresahkan, sudah lama hidup berjauhan, kalau mereka sudah terbiasa kenapa pula saya mahu terasa hati.

Segelintir orang ada berkata, melakukan perkara yang kecil-kecil tidak akan mampu menempatkan kita di satu tahap kedudukan yang tinggi. Tinggi di mata masyarakat, fikir saya. Saya tidak menafikannya. Peran saya dalam masyarakat memang tidak kelihatan. Namun, melakukan perkara yang kecil-kecil telah membentuk saya menjadi diri saya seperti hari ini. Orang kecil yang tetap kecil di mata orang besar. Tetapi, saya akan dilihat sebagai orang besar di mata orang yang badannya kecil. Label besar itu sudah sebati dengan saya sejak kecil lagi kerana orang-orang di sekeliling saya sering merasakan diri mereka kecil dan yang besar itu, cepat tertangkap di mata mereka, saya.

Hmm...AF. Dalam tidak demam, saya hampir pasti akan dapat juga rakaman satu dua siaran mingguan atau diari harian program AF itu nanti. Paling tidak, saya juga mungkin berpeluang menontonnya sendiri seandainya saya pulang lebih awal bertemu keluarga pada tahun ini. Ini luahan rindu terhadap AF? Oh! tidak. Ini sekadar kemungkinan yang akan saya depani kelak. Setelah panjang saya berceloteh, belum sekali pun saya menyatakan punca demam AF saya tidak berlanjutan. Sebenarnya, demam saya hilang begitu sahaja kerana ada sesuatu yang lebih besar menuntut perhatian saya dan saya beranggapan bahawa demam seperti itu mengganggu perjalanan hidup saya. Segalanya jadi kelam-kabut. Sentiasa terkejar-kejar. Apabila berada dalam keadaan sedemikian, ada sahaja yang tidak kena. Oleh itu, demam AF yang pernah menimpa saya, tidaklah berpanjangan.

Sabtu, 14 Mac 2009

Dari Jauh

Dari jauh
Aku melihat
Kepayahan
Keperitan
Kesedihan
Keakraban
Dan aku doakan
Moga-moga bahagia itu
Akan bertandang
Moga-moga mendung itu
Akan berlalu dan menjauh
Moga-moga keakraban itu
Akan sentiasa menjadi penawar
Sebuah dugaan yang menghiris kebahagiaan.

Ruang

Ruang sepi
Telah sebati dengan diriku.

Sesekali kucuba melangkah ke luar
Segera ingatan menerpa ke benakku
Langkah itu bakal mencemar
Kepercayaan dalam genggaman
Lantas segera aku berhenti.

Dan kini
Aku kembali
Ke ruang sepi
Yang mutlak menjadi milikku.

Keluar...

Aku ingin keluar
Dari keping demi keping
Yang menjadi wakil bicara
Yang hanya disinggahi
Pandang demi pandang.

Jumaat, 13 Mac 2009

Hanya Foto (2) - Samarkand

Pada tahun 2007, saya dan keluarga berjalan-jalan ke Samarkand. Waktu itu adalah hari kedua bulan Ramadan. Agak mencabar juga bagi anak-anak kerana ketika itu mereka sedang berlatih menjalani ibadat puasa. Cuaca ketika itu agak terik juga. Selepas keluar dari bandar Tashkent, di kiri dan kanan jalan terdapat ladang kapas. Luas sekali kawasannya. Kapas merupakan antara eksport terbesar Uzbekistan. Waktu itu kapas sedang dituai. Dari jauh, kami dapat melihat kerja-kerja memetik kapas dilakukan.

Foto di atas pula merupakan pusat pengumpulan kapas.

Anak-anak cukup seronok dapat melihat sendiri kapas yang memutih.

Pemandangan Samarkand dari jauh. Perjalanan dari Tashkent ke Samarkand mengambil masa kira-kira tiga jam.

Maklumat lanjut tentang foto di atas boleh diperolehi di sini.


Ukiran ini terdapat di bangunan yang sama dengan foto sebelumnya.


Shah Zinda.

Registan terletak di Samarkand, Uzbekistan.

Bahagian dalam kubah utama Registan.

Makam Imam Bukhari juga di Samarkand. Foto ini diambil pada lawatan kedua sekitar bulan Mei tahun 2008. Saya tidak turut serta pada lawatan yang kedua itu.
Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang Imam Bukhari,
sila baca di sini dan di sini.


Hanya Foto - Landskap Tashkent





Sekitar Tashkent.

Selasa, 10 Mac 2009

Sekadar Berkisah

Baru-baru ini, saya dan keluarga keluar berjalan-jalan. Sejak kebelakangan ini, aktiviti sedemikian agak jarang kami lakukan. Kesibukan sering menjadi penghalang kepada pelbagai aktiviti yang telah dirancang. Sabtu lepas, kami memilih untuk pergi ke Botanical Garden. Sudah lama saya teringin ke sana.

Begitu beria-ia hendak ke sana. Sering terbayang-bayang pemandangan indah pokok-pokok yang kekeringan. Ganjil. Pokok-pokok yang kekeringan, yang kelihatan seperti mati cuma belum menjadi tunggul itu ditafsir sebagai indah. Indahkah kekeringan. Kematian. Bagi orang yang memahami makna kekeringan dan kematian, mungkin dia akan mengerti di mana letaknya keindahan itu. Tetapi memang benar. Mata saya melihatnya indah. Ah! pokok-pokok itu sebenarnya bukan mati walaupun kering. Pokok-pokok itu sedang tidur dan sekarang sudah ada antaranya yang terjaga.

Setibanya kami di situ, masing-masing saling bertanya sama ada mahu meneruskan membeli tiket untuk masuk atau tidak. Sama ada mahu meneruskan rancangan asal atau mahu ke zoo yang terletak bersebelahan dengan taman yang ingin kami kunjungi. Namun, kami sepakat untuk meneruskan rancangan asal. Selesa juga sebenarnya sebab tidak ramai orang di taman itu.

Pandangan kami sempat menangkap sepasang dua merpati. Sungguhpun kehadiran mereka agak mengganggu tetapi kami mengatasinya dengan mengarahkan anak-anak memandang ke arah lain. Mujur mereka mendengar kata tanpa banyak soal. Kami seronok menelusuri denai di taman itu. Cuma suhu hari itu agak rendah. Ditambah lagi dengan mendungnya hari. Pakaian yang kami pakai tidak cukup tebal. Keselesaan terasa sedikit kurang disebabkan kedinginan itu. Kononnya, selesai berjalan-jalan di taman kami akan ke zoo. Tetapi, rancangan tinggal rancangan.

Kami tidak ke zoo, kami ke Broadway. Broadway atau Amir Temur Park. Di sana kami melihat-lihat lukisan yang diatur di sepanjang jalan yang memang sudah dikhaskan tempatnya. Lukisan-lukisan yang dijual di situ ada yang dijual oleh pelukisnya sendiri dan ada juga yang tidak. Ada juga pelukis yang menyediakan khidmat melukis potret. Kami belum pernah mencubanya. Kami belum pernah menggunakan khidmat mereka.

Tahun lepas, kami gagahkan diri menelusuri Pasar Budaya atau Pasar Seni di Kuala Lumpur. Gara-gara Broadway. Tidak lengkap rasanya kalau tidak melihat sendiri bagaimana sebenarnya Pasar Budaya atau Pasar Seni di negara sendiri dengan yang ada di sini. Saya dapati masing-masing ada keistimewaan yang tersendiri.

Selesai menikmati keindahan lukisan-lukisan yang ada di situ, kami ke restoran berhampiran untuk mengisi perut. Masing-masing kelaparan. Masing-masing keletihan. Selepas makan, kami terus balik ke rumah.

Sampai di rumah, setelah membuat apa yang patut dan perlu, seperti biasa saya memeriksa blog. Saya tahu apa yang saya cari. Saya ingin tahu tentang perkembangan perarakan ke Istana Negara. Hiba sungguh rasa hati apabila melihat gambar-gambar yang dirakamkan di dalam blog-blog yang berkenaan. Bilalah agaknya perkara ini akan selesai. Entah mengapa, kesedihan yang saya alami turut mengundang rindu. Rindu pada keluarga. Dan, rindu itu memang bertandang...Dan, kesedihan itu pula masih belum menjauh hingga sekarang.

Isnin, 9 Mac 2009

Rindu Bertandang (2)

Ibu dan Ayah
Kelak rindu kita
Akan terubat jua.

Pabila musim bunga
Mula melambai pergi
Saat itulah kita kan bertemu.

Tika ini
Bersabarlah menanti
Kerana musim bunga
Baru saja datang bertamu.

Salam Maulidur Rasul


Salam Maulidur Rasul

Selamat Hari Ulang Tahun

Adik-adikku sayang
Kuharap kalian tabah
Mendepani dunia yang
Penuh pancaroba
Moga kalian cekal
Dan berdiri teguh
Sebagai insan-insan sejati
Dan terus berjalan
Di landasan kebenaran.

Yang melekat di ingatanku
Zaman kecil kita
Tika kita sering bersama
Hidup di bawah
Bumbung yang sama
Tawa dan canda
Tangis dan duka
Betapa bernilai sebuah kenangan.

Menghimbau kenangan
Sering mengundang
Senyumku dalam diam
Senduku dalam rindu
Seringku pendam di sudut kalbu.

Ketahuilah adik-adikku
Aku amat menyayangi kalian.

Selamat Menyambut Hari Ulang Tahun
Adikku yang kelima.

Ahad, 8 Mac 2009

Rindu Bertandang

Tiba-tiba
Ada rindu
Datang
Bertandang.
Apakah kalian
juga merasainya?

Sabtu, 7 Mac 2009

Kenapa?

Yang mahu diperjuangkan adalah bahasa ibunda
Kenapa gas pemedih mata yang diterima?

Suram Menyisih

Musim dingin mengundur diri
Musim bunga hadir kembali.

Pepohon kering tidak berdaun
Mula berwarna indah berseri
Setelah lena beradu
Purnama demi purnama.

Putik-putik bunga
Mula berkembang menambah seri
Menyisih lembut kesuraman alam
Mengundang senyum di wajah semua.

Izinkan aku
Menikmati keindahanmu.

Jumaat, 6 Mac 2009

Dua Berita Hampir Serentak

Dua berita kematian yang kuterima hari ini. Pertama, perginya ayah kepada kenalanku di sini. Kedua, pulangnya Allahyarham Zubir Ali. Kedua-duanya tidak aku kenali secara dekat. Kedua-duanya hanya kukenali melalui gambar. Pulangnya mereka atas sebab yang sama, sakit jantung.

-i-

Ayah kenalanku itu sudah lama sakitnya. Kira-kira hampir dua bulan, sepanjang pengetahuanku. Ayah kenalanku itu sudah pergi kira-kira dua hari yang lepas. Cuma baru hari ini aku mengetahuinya. Kenalanku itu kehilangan ibu ketika usianya belasan tahun kalau aku tidak silap.

Kini, ketika usianya bakal menginjak empat puluh tiga tahun, dia kehilangan ayahnya pula. Ayahnya yang telah pergi itu baru sahaja menyambut ulang tahunnya yang ke sembilan puluh sekitar bulan Disember baru-baru ini.

Aku belum sempat mengucapkan takziah kepada kenalanku itu. Telefon bimbitnya dimatikan. Selama dua bulan ini, aku sering melihat kenalanku itu bersedih. Tiga minggu kebelakangan ini, dia seperti berumah di hospital menunggui ayahnya. Kukira hubungan mereka amat mesra dan akrab. Kukira kenalanku itu amat menyayangi ayahnya.

Tidak pernah aku mendengar dia mengeluh. Dia sekadar meluahkan kerisauan tentang keadaan ayahnya. Aku kagum melihat caranya memikul tanggungjawab terhadap ayahnya yang sakit. Tidak semua yang namanya anak sanggup memikul tanggungjawab sedemikian. Pasti sekarang ini dia masih lagi bersedih. Semoga dia tabah menghadapi keadaan ini.

-ii-

'Munir ditembak penuh luka, tapi ajalnya belum tiba...kerana Tuhan mengasihi dia.'

Itulah bait-bait lagu dendangan Allahyarham Zubir Ali yang masih kuingati. Kini, beliau telah kembali ke rahmatullah. Al-Fatihah. Setiap dari kita yang ada di dunia ini, akan kembali juga akhirnya. Kembali kepada Allah s.w.t. Takziah untuk keluarga Allahyarham Zubir Ali.

Kadang-kadang ada antara kita yang memandang sepi keadaan ini. Langsung tiada berbekas di hati. Langsung tidak cuba menginsafi diri. Setinggi mana pun kita berada, tidak akan lama kita di dunia ini. Kalaulah kita cepat menyedari segala kesilapan dan segera membetulkannya, alangkah baiknya!

Mawar Kenangan


Mawar mewangi
Tiada lagi.

Satu demi satu
Kelopaknya gugur
Bersatu dengan bumi
Dan tiada lagi
Di mata pandang.

Yang tinggal
Hanyalah kenangan
Harum mewangi
Sekuntum mawar.

(Al-Fatihah buat Allahyarham Zubir Ali)

Tahi Lalat

Anak kecil itu merenung wajahnya di cermin. Agak lama. Sehingga ibu yang sedang membelek majalah di sisi katil juga perasan akan tingkahnya. Namun, ibu itu tidak pula menegur. Cuma sesekali memandang gelagat anak kecilnya itu. Dia sekadar menanti. Dia pasti sebentar lagi dia akan tahu akan punca anak kecilnya bersikap demikian.

''Ibu, Kakak susah hatilah...''

Anak kecil itu mula membuka bicaranya. Agaknya sudah puas merenung cermin. Lantaran tiada jawapan untuk kegusarannya maka ibunya juga tempat mengadu.

''Kakak susah hati? Kenapa?''

Ibunya ingin tahu. Benar-benar ingin tahu.

''Ibu tengoklah tahi lalat di hidung Kakak ni. Dulu kecil, sekarang dah semakin besar.''

Rupa-rupanya anak kecil itu risau tentang tahi lalat di hidungnya. Ya! tahi lalat itu sudah semakin besar. Pada fikiran ibunya, tidaklah berbahaya kalaupun tahi lalat itu tidak dibuang.

''Boleh buang tak tahi lalat ni, Ibu?''

Anak kecil itu bertanya. Ibunya tersenyum.

''Kenapa Kakak tanya macam tu?''

Ibunya terus mencungkil. Dia ingin tahu dari mana datangnya idea sedemikian. Membuang tahi lalat.

''Kakak tengok dalam majalah Ibu. Ada iklan di dalam majalah tu kononnya tahi lalat boleh dibuang.''

Anak perempuannya itu tetap masih kecil baginya. Usianya belum lagi mencapai dua belas.

''Betul. Memang ada iklan macam tu. Kakak nak buang tahi lalat di hidung Kakak ni?''

Ibunya sengaja menduga. Anak kecil itu tersenyum.

''Tidaklah, Ibu. Kakak tak selesa sebab ramai kawan yang tegur. Lina kata tahi lalat di hidung Kakak ni rupanya lain macam. Tak cantik katanya. Tapi...''

Anak kecil itu tersenyum lagi. Ada sesuatu yang menggeletek hatinya.

''Kalau tahi lalat ni makin besar sampai nak tutup lubang hidung, masa tu Kakak nak buanglah.''

Cepat saja ibunya menyambung.

''Ibu fikir, Kakak tak perlu risau tentang tahi lalat tu. Kalau Ibu ada tahi lalat macam Kakak pun, Ibu tak akan buang.''

Anaknya kelihatan lega mendengar kata-kata ibunya. Dia memegang tahi lalat di hidungnya.

''Jangan selalu dipegang tahi lalat tu. Nanti kalau selalu dipegang, makin cepat pula besar.''

Ibunya berseloroh.

'Tok...tok...tok.'

Bunyi ketukan di pintu menghentikan terus sisa tawa mereka.

Khamis, 5 Mac 2009

Baharu

Baharu baharu baharu baharu baharu
Sering membuat kita tertanya-tanya
Sering memancing rasa ingin tahu
Sering melihat kita teruja
Sering menuntut waktu
Kerana yang baharu
Ingin dinikmati
Sebelum
Diganti
Lama
....

Saksi

Pohon sejarah
Banyak mata
Banyak telinga
Banyak hidung
Tertumpu ke situ.

Pohon itu
Jadi saksi betapa
Tunggang dan langgang
................Haru dan biru
.............Kotak dan katik
Yang namanya
bukan haiwan
bukan tumbuhan
Tapi...
M a n u s i a.

Rabu, 4 Mac 2009

Tiga Ratus Enam Puluh Darjah

Percaya
ada di dalam kita.

Semakin usia
b e r t a m b a h
Semakin sukar
untuk kita
memberi
.......percaya.
Kita
Teraba-raba
Tercari-cari
Tertinjau-tinjau
Jejak demi jejak
..................Jujur
..................Setia
............Amanah
................Ikhlas
Jauh ke dalam
Diri sendiri....
Sebelum melihat jauh ke luar diri
Sebelum melihat jauh seputar keliling
Tiga ratus enam puluh darjah.

Mesti Makan

Besar gemuk mahu kurus
Gemuk besar mahu kurus
Makan mesti makan
Makan terus makan
Mau kurus
cari penawar
ubat kurus.
Kadang gemuk besar gemuk
Kadang kurus
Kurus
Kurus
Yang
.............terbang
tetap
..................terbang
M
.........e
......................l
.................a
...........................y
.....................a
................n
...g.......
Makan terus
terus makan
Makan ubat
tak juga
kurus
Makan
Makan
Makan
Terus.
Ma
kan
mesti
ma
kan.
Ku
rus
mes
ti
ku
rus.
k
u
r
u
s.

Peduli atau Tidak

Kadang-kadang kita
memilih untuk ambil peduli
tidak mengira tentang apa
tidak mengira tentang siapa

Pabila kita ambil peduli
Kita tidak dipeduli apa
Kita tidak dipeduli siapa
kerana yang ambil peduli itu
adalah kita...

Pabila kita ingin memilih
Usah lupa pohon petunjukNya
supaya kita tak salah memilih
untuk ambil peduli atau
untuk tidak ambil peduli
agar kelak tak memakan diri
kerana tersilap ambil peduli
kerana tersilap tak ambil peduli.

Selasa, 3 Mac 2009

Bahagia

Bahagia
Terlalu hampir
Dengan kita.

Hanya perlu kita
Benarkan diri
Untuk melihat
Untuk merasa
Tanpa perlu
Membanding-banding.

Malu

Kita manusia
Jadikanlah malu
sebagai teman
yang paling akrab.

Air Muka

Bertelagah
Tiada sudah
Akhirnya yang jatuh
Air muka kita.

Pak Pandir 2

Sejak kebelakangan ini, Pak Pandir sering terlelap. Matanya sukar sangat berjaga lama. Terlelap walau sekejap, mimpi segera datang bertamu. Mimpi yang bermacam-macam. Sekarang ini, Pipiesemai selalu sahaja datang. Datang dalam mimpinya. Bagi Pak Pandir, isterinya tetap di hati. Tiada dua, tiada tiga. Ada orang lain yang hendak sampai empat. Tetapi, bagi Pak Pandir cukuplah satu. Isteri yang amat dikasihinya. Isteri yang sentiasa ada di sisinya bukan sahaja ketika senang malah ketika susah juga.

Pak Pandir walaupun ada penyakit lupa, dia tetap ingat akan kesetiaan yang dicurah isterinya. Pak Pandir sering menjadi bahan ketawa. Dalam diam, Pak Pandir sering berasa terhina dengan sikap masyarakat desa terhadapnya. Desa yang kecil, yang permai, yang indah pemandangannya. Segala-galanya indah belaka pada pandangan Pak Pandir. Dunia ciptaan Allah amatlah indah. Amatlah luas. Cukup luas untuk semua makhluk ciptaanNya. Pernah suatu ketika, terjadi suatu keadaan yang begitu mencuit hati Pak Pandir.

Keadaan yang membuat Pak Pandir senyum memanjang dan melebar sampai ke telinga. Desa indah permai yang didiami Pak Pandir diberi nama sempena namanya. Desa Pak Pandir. Hairan sungguh Pak Pandir kenapa desa itu diberi nama sempena namanya. Sudahlah sering jadi bahan lawak jenaka, desa itu diberi juga nama sempena namanya. Bukannya Pak Pandir yang meminta begitu. Masyarakat sekeliling yang berkehendakkan begitu. Pak Pandir cuma tersenyum. Menyokong tidak, membantah pun tidak.

Menurut seluruh masyarakat desanya, mereka memilih untuk menamakan desa mereka Desa Pak Pandir kerana Pak Pandir seorang yang baik. Pak Pandir baik dengan semua orang tak kira tua atau muda, lelaki atau perempuan, dan tak mengira pangkat ataupun darjat. Semuanya dilayan sama sahaja. Pak Pandir juga seorang yang setia. Setia kepada isteri. Walaupun ramai perempuan yang tertarik pada Pak Pandir namun Pak Pandir tetap setia kepada isterinya sahaja.

Pak Pandir mengeluh. Teringat lagi mimpinya tentang Pipiesemai. Hairan sungguh dia kenapa perempuan itu datang mengganggu. Perempuan itu sebenarnya milik orang lain. Kenapa dia datang mengganggu dirinya. Bagi Pak Pandir, walaupun yang datang itu puteri kayangan atau puteri raja kerajaan negara mana sekalipun, hatinya tetap pada isterinya. Isteri yang mengerti susah dan senang perjalanan kehidupannya.

Hanya maut yang akan memisahkan mereka. Pun begitu, jauh di sudut hati Pak Pandir, kalaulah dia dihantar ke syurga...biarlah isterinya juga ada di situ. Kasih dan sayangnya tiada dua. Kalaulah Pipiesemai dalam mimpinya benar-benar wujud di alam nyata dan tiba-tiba Pak Pandir berubah hati, mungkin nama desanya juga tidak mustahil akan berubah. Tidak mustahil Desa Pak Pandir berubah menjadi Desa Pipiesemai. Siapa tahu? Tidak mustahil perkara semacam itu boleh berlaku. Mungkin berlaku tanpa Pak Pandir sedari.

'Oh...Tidak! aku tidak akan sekali-kali menduakan isteri. Sungguhpun lelaki boleh beristeri dua, aku adalah lelaki setia yang masih tidak memilih jalan itu. Beristeri satu bukannya satu kesalahan. Aku tidak sehebat Nabi Muhammad s.a.w. Tapi, aku hairan ramai betul manusia mahu menurut sunnah yang ini. Dua pun masih tak cukup, mahu sampai empat. Walhal seorang isteri pun masih tak sempurna didikan agama yang diberi. Ada banyak lagi yang wajib diikut, tapi yang ini juga jadi pilihan. Anak-anak yang sering menjadi mangsa. Isteri yang setia terus berendam airmata.'

Pak Pandir yang tadinya duduk bersandar di langgar rumah, kini duduk menopang dagu. Terus melayan fikirannya yang runsing. Runsing memikirkan Pipiesemai....

Isnin, 2 Mac 2009

Sakit dan Sihat

Sakit
Ada apa di situ
Ada rasa yang sering dilupa.

Sakit
Ada apa di situ
Ada rasa yang sering tenggelam.

Sakit
Sering merindui sihat
Sering dilupa pabila sihat
Pabila sihat ia menghilang
Bertapa jauh dalam ingatan.

Ahad, 1 Mac 2009

Berani Kita, Terlalu

Kita terlalu berani
Berani kita terlalu
Terlalu berani kita.

Melanggar mencemar maruah diri
Menghasut melempar nista caci
Memapar mengaib atas etika
Membenar melurus bengkok bergerigi.

Meluru mendatang arang terconteng
Terpalit rakus ke muka sendiri
Tika itu baru berhenti?

Yang Mengusung Sesal, Kita

Aku adalah rakyat
Satu di antara berjuta
Menjadi kita berjuta-juta.

Sungguh aku kecil
Harapanku besar
Sama seperti kalian
Yang berjuta-juta.

Aku ingin melihat
Tanahairku makmur sentosa
Pimpinan adil lagi saksama
Tiada benci tiada sengketa
Tiada juga bermuka-mua.

Aku ingin melihat
Kita yang berjuta-juta
Berhenti mengumpat
Berhenti mengata
Menggali-gali aib sesama.

Aku ingin melihat
Kita yang berjuta-juta
Hidup harmoni dan sepakat
Mengukuh ikatan yang kian longgar
Menjaga daulat bumi tercinta.

Usah kelak
Kita yang berjuta-juta
Mengusung sesal di penghujung usia.

Kita Makin Hanyut

Kita makin hanyut
di lautan luas yang tidak bertepi
dibuai gelora dan ditiup angin
kekadang kuat kekadang perlahan.

Kita hanyut dan terus hanyut
tanpa sedar hala tujuan
bercakaran sesama sendiri
demi maksud yang tak keruan.

Kita hanyut dan terus hanyut
tidak endah terik mentari
tidak endah renung purnama
Pabila tiba ke tepian abadi
Tertanya-tanya kita di mana...
Tertanya-tanya kita siapa....